Polis Johor lumpuhkan rangkaian dadah, rampas 3.34 tan bernilai RM176.33 juta
JOHOR BAHRU – Polis Johor mencatat kejayaan besar dalam usaha membanteras jenayah dadah apabila berjaya menumpaskan 42 sindiket pengedaran di negeri itu sepanjang tahun lalu dengan rampasan dadah seberat 3.34 tan bernilai RM176.33 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, operasi berterusan Jabatan Siasatan Narkotik (JSJN) Johor menyaksikan seramai 138 ahli sindiket ditahan selain pelbagai jenis dadah bernilai RM156.3 juta dirampas.
Menurutnya, polis turut menyita pelbagai aset milik sindiket yang dianggarkan bernilai RM5.54 juta sekali gus melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah di negeri itu.
“Secara keseluruhan, JSJN Johor merekodkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya menahan seramai 26,429 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 3.34 tan dadah berjaya dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM176.33 juta,” katanya memetik laporan BH Online.
Beliau berkata sedemikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Ab Rahaman berkata, kejayaan itu meletakkan Kontinjen Johor di kedudukan keempat tertinggi dari segi rampasan dadah di seluruh negara.
Tambahnya, bagi kes melibatkan penagih berulang di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952, JSJN Johor merekodkan 767 tangkapan sekali gus menempatkan negeri ini di kedudukan kelima secara keseluruhan.
“Sementara itu, bagi tangkapan di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) Akta Dadah Berbahaya 1985, Kontinjen Johor mencatat prestasi terbaik di peringkat nasional dengan 111 tangkapan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Johor turut menunjukkan peningkatan prestasi apabila penyelesaian kes meningkat daripada 3,519 kes pada 2024 kepada 3,641 kes pada 2025 dengan kadar penyelesaian sebanyak 66.08 peratus.
“Kadar pertuduhan juga mencatat peningkatan sebanyak 5.69 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan pencapaian keseluruhan mencecah 57.81 peratus,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






