BERITA SEMASA

Spa songsang: Pemuda Sosialis desak PDRM perjelas prosedur tahanan orang yang disyaki

KUALA LUMPUR – Pemuda Sosialis mempersoalkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung operasi serbuan pada 28 November lalu yang menahanan 201 individu, termasuk 171 rakyat tempatan dan 30 warga asing, di sebuah premis di ibu negara.

Timbalan Pengerusinya, Muhammad Aiman Mohd Sees berkata, tindakan menahan individu terbabit melebihi tempoh 24 jam tanpa perintah reman majistret adalah satu pelanggaran jelas terhadap prosedur undang-undang.

Menurut beliau, walaupun permohonan reman ditolak pada 29 November, semua orang yang disyaki (OYDS) warganegara masih tidak dibenarkan pulang tanpa penjamin, sekali gus menyebabkan mereka hanya dibebaskan pada kira-kira jam 4 petang, semalam.

“Tempoh berkenaan mencecah hampir 40 jam selepas penahanan dibuat.

“Ini menunjukkan wujud penyalahgunaan kuasa dan tindakan bercanggah dengan hak asasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak 29 November, beberapa aktivis, peguam serta ahli keluarga dilaporkan berkumpul di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bagi membantu proses jaminan dan memberikan sokongan moral kepada mereka yang ditahan.

Terdapat juga dakwaan berhubung kekasaran ketika serbuan serta pengabaian hak individu, yang kini turut menjadi perhatian pihak masyarakat sivil.

Pemuda Sosialis turut menegur tindakan beberapa agensi media yang didakwa menyiarkan laporan secara sensasi sehingga menyebabkan maklumat peribadi OYDS tular, termasuk status perkahwinan, pekerjaan dan maklumat demografi.

“Pendedahan sebegini membuka ruang kepada diskriminasi dan stigma, selain memberi tekanan mental kepada mereka yang terlibat. Etika kewartawanan perlu dihormati,” katanya lagi.

Mengulas laporan Malaysiakini, beliau berkata, kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus mengakui polis berdepan kekurangan bukti untuk mendakwa OYDS di bawah Seksyen 377 dan 372 Kanun Keseksaan menunjukkan operasi itu tidak memberikan hasil seperti yang diharapkan.

Perkara itu menguatkan lagi dakwaan bahawa operasi berkenaan dilaksanakan tanpa asas kukuh.

Pemuda Sosialis turut mempersoalkan masa operasi tersebut dijalankan, iaitu ketika negara sedang menumpukan perhatian kepada isu skandal rasuah perlombongan di Sabah.

Menurutnya, usaha mengangkat isu “banteras gejala songsang” sebagai tumpuan utama berpotensi menggugat fokus masyarakat daripada isu lebih besar yang perlu diutamakan.

Pemuda Sosialis berkata, PDRM perlu bertanggungjawab dan memperbetulkan segala kelemahan prosedur melibatkan operasi tersebut.

“Keadilan kepada individu yang terkesan mesti diberi perhatian. Institusi keselamatan negara perlu memastikan tindakan mereka sentiasa selari dengan undang-undang,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button