JENAYAH & MAHKAMAH

[KEMAS KINI] PDRM tahan lelaki Israel bersenjata di ibukota

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan penangkapan seorang lelaki Israel bersama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang, baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika mengumumkan penangkapan itu berkata, lelaki berusia 36 tahun itu ditahan pada 27 Mac, kira-kira dua minggu selepas memasuki negara pada 12 Mac.

Kata Razarudin, lelaki itu memasuki negara dengan menggunakan pasport Perancis.

“Tetapi ketika disoal siasat, suspek kemudiannya menunjukkan pasport Israel miliknya,” kata Razarudin, hari ini.

Tambahnya, suspek mendakwa memasuki Malaysia untuk mencari seorang warga Israel bagi membalas dendam.

“Tapi kami tidak mempercayai dakwaan yang dia buat,” katanya lagi.

Tambah Razarudin lagi, siasatan turut mendapati kesemua senjata itu dibeli sebaik sahaja suspek tiba di Malaysia dengan kaedah pembayaran secara crypto.

“Setakat ini, suspek ditahan reman bermula 28 hingga 31 Mac bagi membantu siasatan Seksyen 12 Akta Passport 1966 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971,” katanya.

Razarudin menambah, kesemua senjata itu ditemukan dalam bilik hotel suspek termasuk diletakkan dalam beg, selain siasatan sedang dijalankan ke atas penerima wang crypto hasil pembelian senjata itu.

Katanya, pihaknya percaya suspek tidak bergerak sendirian sebaliknya mempunyai contact (orang hubungan) di negara ini.

“Semua kemungkinan ini masih dalam siasatan. Susulan konflik antara Hamas-Israel, PDRM juga mempertingkatkan keselamatan ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan beberapa lagi kenamaan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button