BERITA SEMASADALAM NEGERI

Polis tahan dua remaja seret kepala, lakukan aksi ‘wheelie’ atas jalan

KUALA LUMPUR – Polis menahan dua remaja lelaki susulan aksi berbahaya melakukan ‘wheelie’ dengan motosikal di Jalan Tun Razak, di sini, yang tular menerusi media sosial, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, pihaknya mengesan satu video yang dimuat naik di Facebook memaparkan dua individu melakukan aksi berbahaya ketika menunggang dan membonceng motosikal.

Beliau berkata, rakaman yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook jenterapejuang.my itu menunjukkan penunggang motosikal jenis Yamaha 135LC mengangkat roda hadapan, manakala pembonceng pula menyeretkan kepala di atas permukaan jalan.

“Kejadian dipercayai berlaku di Jalan Tun Razak pada 30 Januari lalu antara pukul 3.30 pagi hingga 4 pagi. Video berkenaan menerima lebih 1,500 tanda suka serta puluhan komen daripada pengguna Facebook,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Zamzuri berkata, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Operasi JSPT Kuala Lumpur menjalankan siasatan dan risikan sebelum berjaya mengesan dua individu terbabit bersama motosikal yang digunakan.

“Tangkapan dibuat kira-kira pukul 2 pagi tadi di dua kediaman berasingan sekitar Sungai Buloh, Selangor, manakala sebuah motosikal turut dirampas bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurut beliau, tangkapan melibatkan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang menunggang motosikal dan seorang lagi remaja lelaki berusia 15 tahun yang bertindak sebagai pembonceng.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan membahayakan.

Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button