70 peratus pekerja dirawat di Pusat Rehabilitasi PERKESO kembali ke alam pekerjaan
KUALA LUMPUR – Jumlah individu yang pulih dan kembali ke alam pekerjaan selepas menerima rawatan di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi tempoh 2019 hingga Januari lepas adalah sebanyak 70 peratus.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, peratusan itu merupakan satu angka yang baik dan pihaknya berharap ia dapat ditingkatkan lagi pada masa hadapan.
“Sepanjang tempoh itu, seramai 10,695 individu telah mendapatkan rawatan di pusat rehabilitasi itu dan daripada jumlah yang mendapatkan rawatan berkenaan, 494 adalah mereka yang berasal dari Sabah dan Sarawak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Richard Riot (GPS-Serian) berkenaan jumlah mereka yang berjaya mendapat pekerjaan semula, serta kriteria untuk layak mendapatkan rawatan di pusat rehabilitasi terbabit.
Dalam pada itu, katanta lagi, mereka yang layak untuk dapat rawatan di Pusat Rehabilitasi PERKESO terdiri daripada dua kategori iaitu 90 peratus pencarum dan 10 peratus bukan pencarum PERKESO.
Pusat Rehabilitasi PERKESO dibina untuk membantu Orang Berinsurans PERKESO dan golongan pekerja untuk dipulihkan secara fizikal dan vokasional sehingga akhirnya kembali ke alam pekerjaan dan masyarakat dengan keupayaan yang maksimum.
Sementara itu menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) sama ada kerajaan bercadang membina hospital keselamatan dan kesihatan pekerjaan, Chee Keong berkata rancangan pembinaan dan naik taraf pusat rehabilitasi menjadi hospital perlu dibincang dan mendapat persetujuan Kementerian Kesihatan.
Menjawab soalan asal Richard yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang membina pusat rehabilitasi di Sarawak, beliau berkata kerajaan sememangnya merancang untuk menambah tiga lagi pusat rehabilitasi dalam tempoh lima tahun akan datang dan Sarawak dialu-alukan untuk bekerjasama dalam merealisasikan hasrat itu.
“Kementerian bersedia untuk mengadakan perbincangan lanjut berkaitan lokasi dan keperluan semasa dan kerjasama dengan kerajaan Sarawak memandangkan pembangunan pusat rehabilitasi ini melibatkan kos yang besar,” katanya.
Menurut Chee Keong, PERKESO juga telah memeterai memorandum persefahaman dengan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 5 Ogos 2022 bagi menyediakan program rehabilitasi serta kemudahan berkaitan rehabilitasi di negeri itu menerusi penyediaan kemudahan berkenaan di hospital pengajar UNIMAS.
Beliau berkata bagi tempoh Ogos 2022 hingga 31 Januari lepas, 18 kes telah dirujuk ke UNIMAS dengan sembilan daripadanya telah kembali bekerja, lapan selesai menjalani rawatan rehabilitasi dan seorang masih menjalani rawatan pemulihan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








