BERITA SEMASA

‘Buka ni bila papa dah tiada’ – pesan Allahyarham Amirul

KUALA LUMPUR – “Buka ni bila papa dah tiada,” demikian pesanan ringkas Allahyarham Amirul Hafiz Omar mangsa kemalangan maut akibat dirempuh pemandu mabuk dan khayal dadah.

Pesanan yang menyayat hati itu dikongsi oleh isteri Allahyarham, Nur Nadia Abdul Majid ketika diziarahi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) hari ini.

Nur Nadia berkata, mereka berdua bertungkus lumus untuk menjalani kehidupan di ibu kota dan kadang kala terpaksa membuat pinjaman.

“Saya juga terfikir untuk bantu dia tapi siapa hendak jaga anak-anak hingga menyebabkan dia terpaksa buat dua kerja untuk menyara kami.

“Dapat duit dapat beli beras dan telur. Kami tak adalah susah sampai tak cukup makan tapi masih strugle. Namun arwah tetap berusaha dan tidak mengalah,” katanya.

Amirul
Kotak yang berisi pesanan menyayat hati oleh Allahyarham Amirul Hafiz

Dalam kunjungan itu Nur Nadia turut menerima manfaat PERKESO yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz menyerahkan bantuan Pencen Penakat PERKESO.

Dalam pada itu Mohammed Azman berkata, pencen penakat akan mula disalurkan sebagai jaminan berterusan buat keluarga yang ditinggalkan serta sokongan kewangan pendidikan bagi anak-anak.

“Saya berkesempatan menziarahi balu arwah dan anak-anak di Shah Alam. Dalam suasana penuh hiba, terserlah ketabahan seorang isteri dan kekuatan anak-anak kecil yang masih belum mengerti sepenuhnya erti kehilangan.

“Sebagai pencarum aktif selama 15 tahun, arwah layak di bawah Skim Keilatan PERKESO. Alhamdulillah, Faedah Pengurusan Jenazah telah disampaikan dan Pencen Penakat mula disalurkan sebagai jaminan berterusan buat keluarga yang ditinggalkan serta sokongan kewangan pendidikan bagi anak-anak.

“Insya-Allah, keluarga ini tidak akan dibiarkan bersendirian. Impian anak-anak akan terus disantuni kerana kasih seorang ayah tidak pernah terputus,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button