Daim buta sebelah mata – Peguam
KUALA LUMPUR – Peguam mewakili Tun Dr Daim Zainuddin memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin bahawa anak guamnya buta sebelah mata akibat jangkitan kuman.
Menurut Peguam, M Puravalen, bekas Menteri Kewangan itu juga mempunyai masalah kesihatan yang kronik dan pernah diserang strok beberapa tahun lalu mengakibatkan beliau tidak dapat bertutur dengan baik.
Perkara tersebut dimaklumkan M Puravalen pada prosiding mitigasi untuk mengurangkan jumlah ikat jamin di hadapan Hakim, Azura Alwi pagi tadi.
“Yang Arif boleh lihat sendiri keadaannya, beliau terpaksa dipapah bahkan hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda.
“Daim merupakan seorang pesakit buah pinggang dan kini hanya terperuk di rumah,” kata peguam itu selepas pihak pendakwaan mencadangkan Daim melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya sekali setiap bulan.
Puravalen turut membantah syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes itu selesai susulan tahap kesihatan Daim yang sedang merosot.
Jelasnya, agak mustahil bagi anak guamnya menggunakan pasport untuk melakukan perjalanan yang jauh.
Hakim kemudian menetapkan RM280,000 sebagai jaminan dan menolak syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan selepas mengambil kira faktor kesihatan Daim.
Sejurus selesai perbicaraan, Daim yang berkerusi roda kemudian mengadakan sidang media di perkarangan mahkkamah, namun terpaksa diberhentikan susulan keadaanya yang kelihatan tidak bermaya untuk bercakap.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








