Kematian dicemburui, imam meninggal dunia ketika solat Jumaat
RAUB – Suasana hening solat Jumaat di Masjid Rahmat, Felda Lembah Klau, bertukar sayu apabila imam kedua masjid itu rebah secara tiba-tiba ketika sedang mengimamkan hampir 500 jemaah, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 1.40 petang ketika Allahyarham Tengku Badri Tengku Jaafar, 60, sedang rukuk dalam rakaat kedua sebelum disahkan meninggal dunia di ruang solat imam.
Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Ahmad Khirrizal Abdul Rahman memaklumkan bahawa Allahyarham telah memulakan tugasan sebagai imam kedua masjid tersebut sejak Mei lalu.
Menurut beliau, ketika insiden berlaku, seorang penolong pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Lembah Klau turut berada dalam kalangan jemaah dan segera memberikan bantuan kecemasan.
“Pegawai terbabit cuba memberi bantuan sebelum imam berkenaan menghembuskan nafas terakhir di ruang solat imam di masjid terbabit,” katanya lapor TV3 semalam.
@malaysiatribune Seorang imam menghembuskan nafas terakhir ketika mengimamkan solat Jumaat di Masjid Rahmat, Felda Lembah Klau, Raub semalam. Allahyarham Tengku Badri Tengku Jaafar, 60, rebah selepas rukuk rakaat kedua ketika mengimamkan hampir 500 jemaah, kira-kira jam 1.40 petang. #malaysiatribune
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, hasil semakan mendapati arwah mempunyai rekod rawatan penyakit jantung di Hospital Raub.
Menurut beliau, pihak polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lembah Klau selepas solat Isyak, malam tadi.
Allahyarham yang merupakan peneroka Felda Lembah Klau meninggalkan seorang balu, seorang anak lelaki dan tiga anak perempuan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








