BERITA SEMASAPOLITIK

Akaun BERSATU disita Mengikut Undang-Undang – SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan tindakan agensi itu menyita akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dibuat mengikut undang-undang dan bukan sewenang-wenangnya.

Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada siasatan di bawah Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Penyitaan ini dilakukan kerana akaun tersebut menjadi ‘subject matter’ (perkara subjek) dalam siasatan serta pendakwaan. Oleh itu, ia tidak boleh dilepaskan sehingga perbicaraan selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menjelaskan Seksyen 50(1) membolehkan Pendakwa Raya (DPP) menyita harta alih dalam institusi kewangan, sementara Seksyen 52A menetapkan penyitaan akan terhenti selepas 12 bulan jika tiada pendakwaan.

“Bagaimanapun, kes ini telah mendapat izin mendakwa dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu telah didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) akta sama,” katanya.

Menurut Wan Shaharuddin, BERSATU telah memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 29 Mei 2023 bagi mencabar tindakan penyitaan akaun itu.

“Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan tersebut pada 30 Oktober 2023 dan menetapkan perbicaraan pada 24 September 2025.

“Semua tindakan dilakukan mengikut lunas undang-undang, manakala pihak yang dituduh mempunyai ruang untuk membela diri di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin Yassin mengkritik langkah SPRM, mendakwa ia melampaui batas dan tidak berasas.

Beliau berkata, akaun yang disita itu penting untuk kelangsungan aktiviti parti dan memberi bayangan tindakan undang-undang terhadap SPRM.

SPRM menegaskan proses undang-undang akan menentukan kebenaran, dan pihak yang dituduh berpeluang membuktikan mereka tidak bersalah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button