JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Panglima TDM, isteri akan dituduh esok

KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Tentera Darat Malaysia (TDM) Tan Sri Hafizuddiean Jantan dan isterinya, Salwani Anuar akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah di sini esok.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaafar pula akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur pada Jumaat.

Katanya, pihaknya memperoleh izin daripada Peguam Negara untuk mendakwa tiga individu terbabit.

“Hafizuddiean dan isterinya akan didakwa dengan empat pertuduhan setiap seorang di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

“Hafizuddiean juga akan turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta yang sama di Mahkamah Khas Rasuah Shah Alam, Selangor pada Jumaat ini.

“Manakala, Salwani binti Anuar juga akan didakwa dengan satu lagi pertuduhan di bawah seksyen serta akta yang sama di Mahkamah Sesyen Jertih, Terengganu pada Isnin, 26 Januari 2026,” katanya hari ini.

Mengulas mengenai pendakwaan terhadap Mohd Nizam katanya, dia akan didakwa dengan dua pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 susulan siasatan salah guna kuasa dan siasatan melibatkan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), satu pertuduhan pecah amanah di bawah Seksyen 409 serta satu pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

“SPRM juga ingin memaklumkan bahawa siasatan terhadap dua lagi pegawai kanan ATM kini berada di peringkat akhir dan kertas siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

“SPRM menegaskan komitmen berterusan suruhanjaya ini dalam memastikan setiap kesalahan rasuah dan salah guna kuasa ditangani secara tegas, telus dan tanpa sebarang kompromi, selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button