NASOM perkenal logo baharu, teguhkan peranan terajui komuniti autisme
PETALING JAYA – Gerakan memperkasa komuniti autisme di negara ini menandakan satu lembaran baharu apabila Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) memperkenalkan logo baharu yang mencerminkan evolusi identiti organisasi itu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, menyifatkan pendekatan inklusif NASOM dalam melibatkan komuniti autisme serta proses pemilihan logo sebagai usaha yang patut dicontohi.
“NASOM bukan sahaja menyediakan perkhidmatan sokongan, tetapi turut memperjuangkan hak, peluang dan masa depan golongan autisme,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Pejabat Sekretariat NASOM di Ara Damansara, hari ini.

Logo baharu NASOM menampilkan rekaan yang lebih moden dan progresif, menzahirkan komitmen organisasi untuk terus responsif terhadap aspirasi komuniti autisme.
Pemilihan logo itu dibuat melalui pertandingan terbuka yang melibatkan pandangan masyarakat serta komuniti autisme sendiri.
Presiden NASOM, Mohd Nazrul Mohd. Amin, berkata identiti baharu tersebut menjadi simbol komitmen persatuan dalam memperkukuh advokasi, menyediakan sokongan berterusan, dan memastikan pandangan serta keperluan komuniti autisme sentiasa diutamakan.
“Logo baharu ini mencerminkan usaha berterusan kami dalam meningkatkan kualiti hidup individu autisme, selain memperkukuh penerimaan masyarakat terhadap golongan ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Noraini berkata, kementeriannya bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa menyokong usaha penambahbaikan yang melibatkan komuniti autisme, khususnya berkaitan akses kemudahan asas, perkhidmatan, hak istimewa OKU serta bantuan kewangan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada NASOM atas identiti baharu yang dianggap sebagai simbol organisasi yang lebih segar, moden, dan relevan dengan keperluan semasa.
“Saya percaya logo baharu ini akan terus memperkukuh kedudukan NASOM sebagai rujukan utama dalam bidang perkhidmatan dan pengurusan autisme, bukan sahaja di Malaysia, malah ke peringkat global suatu hari nanti,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








