BERITA SEMASAHIBURAN

Les’ Copaque tegas Upin & Ipin karya asli syarikat, dakwaan animator Indonesia tidak berasas

KUALA LUMPUR – Les’ Copaque Production menegaskan siri animasi terkenal Upin & Ipin adalah sepenuhnya hak cipta dan karya asli syarikat itu susulan tular di media sosial yang mendakwa animasi berkenaan berasal dari Indonesia.

“Animasi Upin & Ipin adalah sepenuhnya hak cipta dan karya Les’ Copaque Production,” tulis syarikat itu menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Penjelasan itu dibuat selepas satu video dimuat naik oleh individu dikenali sebagai Bambang Galon yang mendakwa siri animasi tersebut pada asalnya merupakan karya animator Indonesia dengan nama awal ‘Si Arifin’.

Menerusi kapsyen video tersebut, individu terbabit menulis: “Just laughed at it, turns out Upin Ipin’s original name is Ariffin’s original from Indonesia. My pride.”

upin ipin
Tangkap layar status Les’ Copaque di Facebook.

Dalam video sama, seorang lelaki turut mendakwa lesen animasi itu telah dibeli oleh syarikat dari Malaysia sebelum dikembangkan menjadi Upin & Ipin.

Menurut dakwaan lelaki berkenaan, sekitar tahun 2008 ketika rancangan televisyen kanak-kanak masih banyak menggunakan pelakon sebenar, sekumpulan animator dari Jakarta dan Bandung menghasilkan animasi yang kononnya dikenali sebagai ‘Si Arifin’ sebelum ia diubah suai atas permintaan penerbit.

Dia turut mendakwa karya tersebut kemudian dibeli oleh syarikat dari Malaysia sebelum diperkenalkan semula ke Indonesia selepas beberapa tahun dengan nilai lebih tinggi.

Bagaimanapun, dakwaan itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang mempertahankan karya animasi tempatan berkenaan.

Seorang pengguna Facebook, Ting Hua Ee, menggesa tindakan undang-undang diambil terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan tersebut.

“Saman aje. Upin Ipin dah boleh kurangkan watak Susanti tu. Lebihkan watak Izad dan Zul serta Devi dan Raju. Kalau boleh wujudkan watak dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Hafizur Hazwan, turut meminta syarikat produksi itu mengambil tindakan tegas.

“Samanlah Les’ Copaque Production Sdn Bhd. Biar dia ada akal sikit. Habis semua benda nak ‘claim’. Bagi dia terdiam,” tulisnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button