LUAR NEGARA

PBB lulus resolusi hidupkan penyelesaian dua negara, tolak peranan Hamas

NEW YORK – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi penting bagi menghidupkan semula penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin, sekali gus membuka jalan baharu ke arah perdamaian di Asia Barat.

Resolusi yang dikenali sebagai Deklarasi New York Mengenai Penyelesaian Secara Aman Isu Palestin itu mendapat sokongan besar dengan 142 undi, manakala 10 negara termasuk Amerika Syarikat dan Israel menentang serta 12 lagi berkecuali.

Teks berkenaan dengan jelas mengecam Hamas, menuntut pembebasan semua tebusan serta menyeru kumpulan itu menyerahkan senjata dan menamatkan pemerintahannya di Gaza bagi memberi laluan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) dengan sokongan antarabangsa.

Naib Presiden Palestin, Hussein al-Sheikh, menyambut baik keputusan itu.

“Keputusan ini mencerminkan kesediaan antarabangsa untuk menyokong hak rakyat Palestin serta menjadi langkah penting ke arah menamatkan pendudukan dan mencapai status negara merdeka,” katanya.

Namun, Israel menolak keras langkah tersebut.

Jurucakap Kementerian Luar negara itu, Oren Marmorstein dalam catatan di X menyifatkan deklarasi berkenaan sebagai bukti bahawa Perhimpunan Agung PBB telah berubah menjadi ‘sarkas politik yang terpisah daripada kenyataan’.

Resolusi hasil inisiatif Perancis dan Arab Saudi itu turut membincangkan kemungkinan penempatan misi penstabilan antarabangsa sementara di Gaza di bawah mandat Majlis Keselamatan PBB.

Selain itu, ia memberi isyarat bahawa semakin banyak negara bersedia mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button