Presiden Palestin gesa Hamas serahkan senjata di Sidang PBB
NEW YORK – Presiden Palestin, Mahmud Abbas menggesa Hamas menyerahkan senjata mereka kepada pihak berkuasa Palestin dalam ucapan pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam.
Beliau berkata demikian sebagai langkah penting ke arah penyelesaian dua negara.
Mahmud turut mengutuk serangan dan penahanan orang awam Israel termasuk insiden pada 7 Oktober 2023 serta menegaskan bahawa Hamas dan puak lain tidak seharusnya mempunyai peranan dalam mentadbir Gaza.
“Kami juga mengutuk pembunuhan dan penahanan orang awam. Masa depan kami dan anda bergantung kepada keamanan,” katanya memetik laporan AFP.
Beliau berucap pada Perhimpunan Agung PBB melalui pautan video setelah visanya untuk memasuki Amerika Syarikat dinafikan.
Mahmud menambah: “Dan kepada rakyat Palestin yang sabar, saya katakan bahawa fajar kebebasan dan kemerdekaan pasti akan tiba.”
Penafian visa Mahmud dan delegasi Palestin itu mencetuskan kontroversi namun sebanyak 145 negara kemudian mengundi untuk membolehkan beliau berucap secara maya.
Ucapan Mahmud menekankan pentingnya keamanan, pengakhiran keganasan dan penyerahan senjata oleh kumpulan bersenjata bagi membuka jalan kepada kestabilan serta kemerdekaan Palestin.
Terdahulu, sekurang-kurangnya 145 daripada 193 negara anggota PBB mengiktiraf negara Palestin termasuk United Kingdom, Australia, Kanada dan Portugal.
Perancis turut mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap Palestin.
“Tiada apa yang boleh membenarkan perang yang berterusan di Gaza.
“Sudah tiba masa untuk menghentikan peperangan, pengeboman, pembunuhan beramai-ramai dan pengusiran rakyat,” kata Presiden Emmanuel Macron.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









