JENAYAH & MAHKAMAH

Pengawal keselamatan ditemukan maut dalam longkang di Kuala Pilah

KUALA PILAH – Seorang pengawal keselamatan berusia 26 tahun ditemukan meninggal dunia dalam sebuah longkang berhampiran Jalan Kampung Pasir Ambor Dalam, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan mangsa yang terbaring di tepi jalan di kawasan berkenaan pada pukul 8.40 pagi.

Menurutnya, sepasukan polis diketuai Ketua Polis Balai Kuala Pilah bersama pegawai penyiasat kemudian bergegas ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa ditemukan di dalam sebuah longkang berhampiran jalan dengan terdapat ranting serta batang pokok yang patah di kawasan tersebut.

“Pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa bagaimanapun tidak menemukan sebarang kesan pukulan, kelar atau tanda-tanda pergaduhan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pasukan D10 Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan turut hadir menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian.

Bagaimanapun, pemeriksaan pasukan berkenaan tidak menemukan sebarang petunjuk yang menunjukkan berlakunya unsur jenayah.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa, seorang lelaki Melayu yang beralamat di Kampung Pasir Ambor, mempunyai sejarah penyakit sawan sejak kecil.

“Berdasarkan keterangan ahli keluarga, mangsa juga pernah mengalami keadaan tidak sedarkan diri selepas mengalami serangan sawan.

“Bagaimanapun, hasil bedah siasat mendapati punca sebenar kematian adalah tidak dapat ditentukan (undetermined),” katanya.

Muhamad Mustafah berkata, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button