Dakwaan rasuah perlu disiasat secara adil, jangan terburu-buru menghukum – PM
KUALA LANGAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap dakwaan rasuah yang dibangkitkan perlu disiasat secara menyeluruh, telus dan adil tanpa sebarang prejudis, termasuk isu yang dikaitkan dengan bekas Menteri Ekonomi, Datuk Rafizi Ramli.
Beliau berkata, kerajaan tidak akan melindungi mana-mana individu sekiranya didapati bersalah, namun menasihatkan semua pihak supaya tidak menjatuhkan hukuman sebelum proses siasatan dan pendakwaan selesai.
“Saya tidak akan berkompromi dengan rasuah. Kalau ada bukti, kita siasat dan dakwa. Tetapi sebelum siasatan selesai, jangan kita hukum atau sebar tuduhan sehingga menimbulkan fitnah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheding, Banting, di sini hari ini.
Menurut beliau, budaya membuat kesimpulan awal berdasarkan dakwaan semata-mata hanya akan menjejaskan keharmonian masyarakat serta mencemarkan prinsip keadilan.
“Dalam negara hukum, kita mesti berpegang kepada proses undang-undang. Jangan dengar tuduhan terus melatah dan menghukum. Itu tidak adil,” katanya lagi.
Anwar berkata, beliau menerima baik sebarang dakwaan termasuk yang melibatkan kerajaan, namun semua pihak perlu memberi ruang kepada agensi penguat kuasa menjalankan siasatan tanpa tekanan.
“Kalau ada kesalahan dan bukti kukuh, tindakan akan diambil. Tetapi kita tidak boleh membenarkan persepsi mendahului fakta,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar bulan Ramadan dimanfaatkan untuk meningkatkan amal ibadah dan memperkukuh perpaduan, bukan menyemarakkan polemik tidak berasas.
Sebelum itu Rafizi menafikan dakwaan terbabit dalam kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion berkaitan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengannya.
Ahli Parlimen Pandan itu menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai fitnah yang dilemparkan oleh pempengaruh media sosial, Caprice.
Isu tersebut dipercayai berkait dengan projek Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) melibatkan pelaburan bernilai RM2.5 bilion oleh UEM Lestra.
Perkembangan itu terus menjadi perhatian ramai memandangkan komitmen kerajaan untuk memastikan tadbir urus yang bersih dan berintegriti sentiasa dipertahankan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








