Insiden pelajar terlibat salah laku seksual bukti kegagalan sistem nilai moral – CPSM
KUALA LUMPUR – Tragedi salah laku seksual membabitkan empat pelajar lelaki di sebuah sekolah di Melaka wajar dijadikan amaran keras kepada masyarakat bahawa keruntuhan moral dalam kalangan generasi muda kini berada pada tahap membimbangkan.
Persatuan Perlindungan Kanak-Kanak Malaysia (CPSM) menegaskan, kejadian itu bukan sekadar kes jenayah, sebaliknya mencerminkan kegagalan bersama dalam mendidik anak-anak tentang nilai hormat, empati dan maruah diri.
Pengerusinya, Tengku Asra Jehan berkata, apabila pelajar yang diharapkan menjadi pemimpin masa depan sanggup melakukan perbuatan sebegitu, ia menunjukkan kompas moral negara semakin pincang.
“Apabila anak-anak yang kita harapkan menjadi pemimpin masa depan sanggup melakukan perbuatan sebegini, ia menunjukkan bahawa kompas moral negara ini sedang rosak.
“Keadilan mesti ditegakkan, bukan sahaja dari sudut undang-undang, tetapi juga dari sisi nurani dan hati masyarakat. Tiada justifikasi, tiada kompromi terhadap pelaku keganasan seksual,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, insiden itu seharusnya menjadi peringatan tegas kepada semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik dan pemimpin supaya tidak lagi memandang ringan isu salah laku seksual di sekolah.
Katanya, kejadian berkenaan bukan sekadar berpunca daripada empat individu terbabit, sebaliknya mencerminkan kegagalan sistem nilai masyarakat yang semakin membiarkan rasa hormat dan tanggungjawab terhakis.
Pada masa sama, Tengku Asra turut menggesa pembaharuan menyeluruh dilaksanakan bagi memulihkan nilai moral dan etika dalam sistem pendidikan serta budaya sosial.
Beliau juga menyeru agar sistem sokongan terhadap mangsa diperkukuh termasuk bantuan psikologi, pemulihan trauma dan perlindungan kerahsiaan.
“Ajar anak-anak bukan sekadar untuk berjaya, tetapi untuk menghormati. Bukan sekadar untuk menang, tetapi untuk berbuat baik,” ujarnya sambil mengingatkan ibu bapa agar memainkan peranan aktif dalam membentuk peribadi anak-anak dan tidak hanya menekankan pencapaian akademik.
Tengku Asra menegaskan, pemimpin turut memikul tanggungjawab memastikan dasar dan tindakan tegas diambil bagi melindungi generasi muda daripada terus menjadi mangsa jenayah seksual.
“Ukuran sebenar sesebuah masyarakat ialah bagaimana kita melindungi golongan paling lemah. Hari ini, kita telah gagal dalam ukuran itu, namun kita masih berpeluang untuk bangkit dan memperbetulkannya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








