BERITA SEMASA

MCMC promosi perkhidmatan pintar NADI di PMR Tawau, fokus projek dron penghantaran ubat

TAWAU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menyertai Program MADANI Rakyat (PMR) di sini dengan mengetengahkan Perkhidmatan Pintar NADI serta projek strategik berimpak tinggi kepada masyarakat luar bandar.

MCMC berkata, antara tarikan utama reruai NADI ialah pameran inisiatif penghantaran ubat menggunakan dron, yang merupakan hasil kerjasama bersama Kementerian Kesihatan, agensi strategik seperti MRANTI, dan penyedia teknologi dron tempatan.

“Inisiatif ini merupakan projek perintis bagi menguji keberkesanan kaedah penghantaran ubat dari Klinik Kesihatan ke NADI terpilih di kawasan pedalaman, termasuk kawasan pulau serta lokasi yang sukar dihubungi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan fasa pertama projek ini dijangka bermula pada suku keempat tahun 2025 dan akan melibatkan dua lokasi NADI, termasuk NADI Tawau yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan beliau ke reruai NADI di PMR tersebut.

Katanya lagi, projek rintis ini akan diperluaskan kepada 150 buah NADI pada tahun 2026 dan disasarkan merangkumi keseluruhan 392 buah NADI menjelang tahun 2027. Ketika ini, terdapat sebanyak 1,099 buah NADI di seluruh negara.

MCMC berkata, projek ini menyokong agenda perluasan akses perkhidmatan kesihatan masa depan yang lebih saksama melalui penggunaan teknologi seperti rangkaian 5G dan kecerdasan buatan (AI), sejajar dengan aspirasi kerajaan dalam memperkasa komuniti luar bandar.

Reruai NADI di PMR Tawau turut menampilkan pelbagai aktiviti Perkhidmatan Pintar NADI melalui lima teras utama iaitu keusahawanan, kesihatan, pembelajaran sepanjang hayat, kesedaran IT dan perkhidmatan kerajaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button