Usia bertambah, semangat reformasi jangan pudar – Anwar
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan para perintis dan pejuang Reformasi supaya tidak membiarkan usia, kekecewaan atau rasa tersinggung memadamkan semangat perjuangan yang telah dibina sejak sekian lama.
Beliau berkata, meskipun usia semakin bertambah dan langkah semakin perlahan, semangat untuk meneruskan perjuangan tidak seharusnya pudar kerana pengalaman pernah jatuh, kalah dan menderita telah mengajar mereka untuk bangkit semula.
Katanya, perjuangan membawa perubahan menuntut keberanian, kesabaran dan daya juang yang tidak pernah padam.
“Namun perjuangan ini masih belum selesai, maka gilap semula semangat yang sudah ada, usah pernah letih, usah mudah bebal dan jangan biarkan rasa terkilan atau tersinggung memadamkan semangat perjuangan.
“Himpunkan semula kekuatan dan pesan kepada anak-anak, keluarga, sahabat serta generasi seterusnya bahawa perjuangan membawa perubahan menuntut keberanian, kesabaran dan daya juang yang tidak pernah padam,” katanya dalam kenyataan.
Anwar berkata demikian selepas kembali bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bertemu sahabat lama, para perintis dan ‘otai’ Reformasi yang melalui pelbagai liku, derita serta pengorbanan sejak awal perjuangan itu, semalam.
Menurut beliau, pertemuan semula berkenaan mengundang rasa terharu dan sebak apabila mengenangkan perjalanan panjang yang telah dilalui bersama.
Beliau berkata, jasa dan pengorbanan setiap pejuang berkenaan tidak mungkin dilupakan kerana kekuatan, keberanian dan semangat juang mereka menjadi antara asas yang membolehkan beliau memikul amanah sebagai Perdana Menteri hari ini.
“Mana mungkin saya dan Azizah melupakan jasa dan pengorbanan setiap daripada mereka kerana tanpa kekuatan, keberanian dan semangat juang kalian, tidak mungkin saya berdiri di sini hari ini memikul amanah sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Anwar turut menyeru supaya semangat perjuangan berkenaan dihimpunkan semula dan diwariskan kepada generasi seterusnya agar usaha membawa perubahan terus diperkukuh.
“Usia mungkin bertambah dan langkah mungkin semakin perlahan, tetapi semangat jangan sesekali pudar kerana kita pernah jatuh, kalah dan menderita, namun kita juga tahu bagaimana untuk bangkit semula.
“Lawan tetap lawan!” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








