BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Malaysia komited perkasa industri kreatif serantau – Teo Nie Ching

KUALA LUMPUR – Malaysia menzahirkan komitmen penuh dalam memperkukuh industri filem dan televisyen sebagai tonggak penting pembangunan serantau menerusi Sidang Kemuncak Filem & TV ASEAN 2025 yang berlangsung di ibu negara.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching ketika merasmikan sidang kemuncak itu hari ini berkata, tema ‘Keterangkuman dan Kelestarian’ mencerminkan visi ASEAN untuk membina rantau yang berdaya tahan, berteraskan rakyat dan bersedia menghadapi masa depan melalui kerjasama serantau.

“Industri kreatif perlu diiktiraf sebagai pemacu dialog budaya, kebanggaan serantau dan peluasan peluang ekonomi.

“Malaysia telah mengambil langkah konkrit seperti Insentif Penggambaran di Malaysia (FIMI) yang berjaya menarik RM2.71 bilion pelaburan sejak 2013,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan produksi tempatan seperti Ejen Ali dan Upin & Ipin, selain penggambaran siri antarabangsa seperti Lord of the Flies oleh Sony Pictures di Langkawi, membuktikan potensi global industri tempatan.

Beliau turut menekankan kepelbagaian suara sinematik ASEAN yang ditampilkan menerusi program ASEAN On Screen serta peranan Malaysia dalam memacu kerjasama menerusi tiga inisiatif utama iaitu Meja Bulat Penerbitan Bersama ASEAN, Kerangka Penggambaran Lestari dan Makmal Cerita Belia ASEAN.

Sidang selama tiga hari itu menghimpunkan pembuat dasar, penggiat industri dan pelabur dari seluruh rantau, selain menawarkan sesi panel, tayangan khas dan kelas induk oleh tokoh filem antarabangsa, termasuk Asif Kapadia dan Rima Das.

Selain itu, turut diadakan Majlis Anugerah Malaysia Golden Global Awards (MGGA) pada 26 Julai di Zepp Kuala Lumpur bagi meraikan pembikin filem cemerlang dari ASEAN dan luar negara.

“Cerita kitalah yang akan menghubungkan, memberi inspirasi dan membawa ASEAN ke hadapan,” ujar Nie Ching dalam ucapannya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button