Sukarelawan Skuad Ihsan Madani KPM digerakkan ke negeri terjejas banjir
PUTRAJAYA – Kira-kira 300 orang sukarelawan Skuad Ihsan Madani Kementerian Pendidikan (KPM) digerakkan untuk memberi bantuan di kawasan terjejas banjir.
Menurut KPM, sukarelawan Skuad Ihsan Madani KPM akan melaksanakan operasi bantuan di dua zon yang terjejas banjir iaitu di Zon Utara dan Zon Timur.
“Sukarelawan yang terlibat terdiri daripada wakil Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Smart Support Team (SST-MoE), sukarelawan Guru Insani, sukarelawan MESCA KPM serta warga KPM.
“Antara yang diberi tumpuan adalah pelaksanaan kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas banjir.
“Ini penting bagi mengurangkan beban mangsa terjejas, serta membantu mereka yang sedang dalam fasa pemulihan untuk kembali menjalani kehidupan pasca banjir,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah menyempurnakan acara pelepasan Skuad Ihsan Madani KPM di Putrajaya, semalam.
Hadir sama adalah Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan.
Turut diadakan, penyerahan sumbangan Yayasan Guru Tun Hussein Onn berjumlah RM100,000 bagi menjayakan operasi bantuan dan penyerahan peralatan pembersihan pasca banjir.
“Selain membawa harapan rakyat terjejas yang memerlukan bantuan segera, Skuad Ihsan Madani adalah cerminan perpaduan dan kesepakatan Malaysia Madani dalam mendepani musibah,” kata KPM lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








