Caprice hadiah sejambak bunga ros kepada Rafizi, tanda damai
KUALA LUMPUR – Penyanyi rap dan pempengaruh, Ariz Ramli atau dikenali sebagai Caprice menghulurkan tangan tanda damai kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung isu kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion membabitkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat.
Sebagai tanda damai, Caprice turut menghadiahkan sejambak bunga ros kepada Ahli Parlimen Pandan itu.
Beliau juga merayu supaya Ahli Parlimen Pandan itu tidak mengheretnya dalam perang politik berkait isu berkenaan.
“Saya menghulurkan tangan kepada Rafizi. Kalau Rafizi sudi, Cap sedia untuk berdamai.
“Saya belikan anda bunga hari ini, bunga ini mungkin tahan sekitar tujuh hari sebelum layu. Jadi, saya harap dalam masa tujuh hari ini, kita dapatlah berdamai dan tolonglah jangan heret Caprice dalam dunia perang politik ini.
“Kami hanya tanya soalan yang bagi Cap, soalan relevan,” katanya pada sidang medianya di sini hari ini.
Sebelum ini, Rafizi memberi amaran akan memfailkan saman terhadap Caprice sekiranya tiada permohonan maaf dibuat selepas fakta sebenar dibentangkan.
Beliau menafikan terbabit dalam kes rasuah berjumlah RM2.5 bilion membabitkan penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat yang berkaitan dirinya.
Mengulas lanjut, Caprice berkata, beliau juga tidak pernah mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak.
Bagaimanapun katanya, pada jam 2.30 petang tadi, beliau melalui peguamnya telah menghantar notis tuntutan kepada Rafizi supaya menarik balik hantaran dibuatnya, menghentikan segala kenyataan fitnah dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya.
Caprice berkata, pihaknya memberi masa kepada Rafizi sehingga jam 5 petang esok untuk menuruti notis tuntutan berkenaan.
Katanya, sekiranya Rafizi tidak menuruti tuntutan itu, pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang kepadanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







