Kes pelaburan RM1.1 bilion: Rafizi hadir beri keterangan di SPRM
PUTRAJAYA – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, tampil ke SPRM hari ini bagi memberi penjelasan berhubung siasatan pelaburan semikonduktor RM1.1 bilion dengan firma UK, Arm Plc Holdings.
Ahli Parlimen Pandan itu tiba kira-kira pukul 9.30 pagi dan mengesahkan siasatan berkait dakwaan usaha sama kerajaan dengan ARM.
“Saya tiada maklumat lain selain daripada itu dan kita sedia maklum akta SPRM, selepas beri keterangan memang tidak boleh beri sebarang ulasan kepada pihak media.
“Dalam soal siasat pun saya akan masuk sendiri tanpa peguam dan apa-apa maklumat lain sama ada kita tunggu daripada SPRM ataupun daripada peguam-peguam saya,” katanya ketika ditemui di luar bangunan SPRM di sini, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa segala perincian lanjut hanya akan dimaklumkan oleh pihak SPRM atau barisan peguamnya, memandangkan beliau perlu mematuhi prosedur siasatan yang sedang berjalan.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan barisan peguam yang akan mewakilinya sekiranya kes berlanjutan ke mahkamah, termasuk bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Sam serta beberapa peguam lain.
Mengulas kemungkinan didakwa, Rafizi berkata beliau bersedia mempertahankan diri di mahkamah.
Sebelum ini, media melaporkan Rafizi dipanggil bagi memberi keterangan membantu siasatan membabitkan perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan gergasi semikonduktor ARM.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar dilaporkan berkata bekas Menteri Ekonomi itu dipanggil untuk dirakam keterangan hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Katanya, rakaman percakapan Rafizi itu adalah susulan pembantunya, James Chai, yang diambil keterangan selama tiga hari berturut-turut minggu lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











