Mubarak fail saman, bantah cadangan pelantikan baharu Undang Luak Sungei Ujong dan Rembau
SEREMBAN – Datuk Mubarak Thahak bersama lima lagi individu memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban bagi membantah sebarang cadangan pelantikan atau penzahiran Yang Teramat Mulia (YTM) Undang Luak Sungei Ujong dan YTM Undang Luak Rembau yang baharu dalam istiadat yang dijadual berlangsung di Istana Besar Seri Menanti (IBSM) minggu ini.
Menerusi surat bantahan rasmi yang dikemukakan melalui firma guaman DS & Co., kumpulan berkenaan menyatakan mereka menerima maklumat mengenai perancangan penganjuran majlis istiadat di IBSM bermula 25 hingga 27 Jun, yang didakwa melibatkan penzahiran pelantikan Undang Luak Sungei Ujong dan Undang Luak Rembau yang baharu.
Menurut mereka, sekiranya agenda tersebut benar-benar akan dilaksanakan, pihak terbabit membantah keras sebarang tindakan untuk melantik, menzahirkan atau mengiktiraf mana-mana individu sebagai Undang Luak baharu bagi kedua-dua luak berkenaan.
Mereka mendakwa sebagai ahli majoriti Dewan Keadilan dan Undang (DKU), pihaknya tidak pernah dirujuk atau dimaklumkan mengenai proses pelantikan tersebut.
Menurut surat itu, institusi pelantikan Undang Luak adalah tertakluk kepada adat istiadat luak masing-masing serta peruntukan yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Kumpulan berkenaan turut mendakwa sebarang pelantikan tanpa pengesahan pihak berkuasa adat yang sah termasuk Lembaga Adat Luak Sungei Ujong dan Luak Rembau yang diiktiraf merupakan pelanggaran serius terhadap adat dan perlembagaan negeri.
“Sebarang majlis penzahiran atau pelantikan yang diteruskan di bawah agenda tersebut adalah tidak sah, tidak mempunyai kesan undang-undang dan mencabar kedaulatan serta keabsahan institusi adat yang sedia ada,” menurut surat itu.
Mereka turut mendakwa tindakan tersebut bertentangan dengan Perkara 71 dan Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, mereka memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang lanjut sekiranya majlis pelantikan atau penzahiran berkenaan diteruskan.
Salinan surat bantahan tersebut turut dihantar kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Ketua Polis Negeri Sembilan.
Saman pemula itu menamakan Raja Norazli Raja Nordin dan dua lagi individu sebagai defendan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








