Pemandu Ford Ranger positif dadah, rempuh dua beranak direman dua hari
MUAR – Seorang pemandu sebuah pacuan empat roda Ford Ranger yang positif dadah ketika merempuh dua beranak di Jalan Rencong, Lenga, di sini semalam direman di Mahkamah Majistret, hari ini.
Perintah reman selama dua hari ke atas suspek berusia 39 tahun itu dikeluarkan Majistret Kartini Kasran bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan berhubung kemalangan tersebut dan bahan terlarang.
Terdahulu, suspek tiba di mahkamah pada pukul 8.30 pagi bagi prosiding reman selepas ditahan petang semalam, susulan kemalangan meragut dua nyawa.

Ketua Polis Daerah Muar, Asistan Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sejurus selepas nahas, polis menjalankan pemeriksaan ke atas pemandu pikap sebelum menemukan 20 biji pil eramin 5 seberat 5.15 gram (g) serta syabu 0.39g,” katanya dalam kenyataan.
Raiz Mukhliz berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methampethamin.
Kemalangan itu meragut nyawa Norman Ahmad, 47, dan bapa saudaranya, Sa’at Kassim, 77, dengan kedua-duanya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini.
BACA JUGA:
Pemandu ‘lalok’ rempuh motosikal, dua beranak maut di Muar
Kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari rumah di Kampung Bendar Bukit, Bukit Kepong ke pekan Pagoh untuk membeli kelengkapan Aidilfitri.
Jenazah dua-duanya selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Islam Kampung Tui, Bukit Kepong tengah malam tadi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








