Kenyataan ‘Cina ada China’ tidak sesuai, boleh lukakan hati rakyat – Lih Kang kepada Sanusi
KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor yang menyebut “Cina ada China, India ada India, Kemboja ada Kemboja dan Melayu hanya ada Malaysia” disifatkan tidak sesuai serta tidak wajar dilontarkan dalam negara berbilang kaum.
Naib Presiden PKR merangkap Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, walaupun kenyataan itu dibuat ketika tempoh kempen pilihan raya, sensitiviti masyarakat perlu terus dipelihara.
Menurut beliau, rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum telah lama menetap, membesar dan menyumbang kepada pembangunan negara ini.
“Saya rasa tidak patut kenyataan seperti itu walaupun kita tahu sekarang adalah masa kempen pilihan raya. Tetapi kenyataan seperti itu tidak sesuai dan tidak patut untuk negara Malaysia.
“Saya beri contoh, etnik saya ialah Cina, tetapi saya dilahirkan di sini, dibesarkan di sini, belajar di sini. Semua ada di sini. Jadi kalau awak suruh saya balik China, saya pun tidak tahu apa yang saya boleh buat kerana tiada orang di sana,” katanya selepas merasmikan TechnoMART Malaysia: High Tech Financing 2026 di Menara MBSB Bank, di sini, hari ini.
Chang berkata, meskipun sebagai ahli politik beliau mungkin mampu berdepan dengan pelbagai kenyataan, perkara sama tidak semestinya berlaku kepada rakyat biasa yang boleh berasa tersinggung.
“Bagi saya, saya okey sebab saya ahli politik, tetapi bagi orang biasa ia boleh menyakitkan hati, terutama mereka yang sudah bergenerasi bekerja kuat, bekerja gigih untuk negara di Malaysia sahaja dan tidak pernah keluar negara.
“Tiba-tiba mereka dikatakan China ada China, India ada India. Jadi saya rasa tidak patut. Walaupun dalam kempen politik, kita kena sensitif juga,” katanya.
Beliau menegaskan Malaysia dibina hasil sumbangan semua rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan setiap pihak perlu memainkan peranan memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















