MB Kedah lepas, bebas tuduhan menghasut berkaitan Sultan Selangor
SHAH ALAM – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada pertuduhan menghasut berkaitan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam satu ceramah politik.
Memetik laporan BH Online, perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Masri Mohd Daud di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin.
Ketika prosiding hari ini, Masri memberitahu mahkamah pihak pendakwaan tidak bercadang untuk meneruskan pertuduhan terhadap Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.
“Pihak pendakwaan dengan ini menarik balik pertuduhan dan melepaskan tanpa membebaskan tertuduh di dalam kes ini,” katanya.
Bagaimanapun, Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Muhammad Sanusi membantah perkara itu dengan menyatakan tertuduh sepatutnya dilepaskan dan dibebaskan kerana pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan kes tersebut.
“Dalam satu doktrin, sesuatu perkara tidak boleh tergantung di atas seorang tanpa satu penjelasan yang muktamad, mahkamah mempunyai kuasa untuk melepaskan dan membebaskan tertuduh dalam kes tersebut,” katanya.
Aslam ketika membacakan keputusannya berkata, mahkamah melepaskan dan membebaskan Muhammad Sanusi dari pertuduhan pertama.
“Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menetapkan 24 hingga 28 Februari tahun depan untuk tarikh bicara,” katanya.
Beliau bagaimanapun masih berdepan satu lagi pertuduhan menghasut berkaitan Yang Dipertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang akan dibicarakan 24 hingga 28 Februari tahun depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








