Maritim Malaysia patahkan cubaan seludup 245 ekor burung murai, ular sawa
BATU PAHAT – Cubaan menyeludup ratusan hidupan liar dipercayai untuk diperdagangkan secara haram berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas sebuah kelong ditahan dalam satu operasi bersepadu di perairan Sungai Ayam, di sini, malam tadi.
Pengarah Maritim Malaysia Zon Batu Pahat, Komander Mohammad Zaini Zainal berkata, operasi yang dijalankan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) itu dilaksanakan kira-kira jam 10.30 malam.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan di sebuah kelong yang terletak kira-kira 1.2 batu nautika barat daya Sungai Suluh membawa kepada rampasan 245 ekor hidupan liar yang dipercayai dilindungi.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 234 ekor burung murai kampung, 10 ekor ular sawa dan seekor monyet berjaya diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kesemua hidupan liar terbabit dipercayai cuba dibawa keluar secara tidak sah dan tindakan tersebut disiasat mengikut peruntukan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Menurutnya, semua haiwan yang dirampas dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat sebelum diserahkan kepada Perhilitan Johor bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
“APMM menegaskan komitmen untuk terus memperketat pemantauan dan penguatkuasaan di perairan negara bagi membanteras kegiatan penyeludupan hidupan liar yang mengancam ekosistem serta khazanah alam negara,” tegasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








