BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Dua bot nelayan Vietnam dicekup ceroboh perairan Kudat

Salah sebuah bot nelayan Vietnam yang ditahan selepas menceroboh perairan negara di Kudat, Sabah.

KUDAT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kudat menahan dua buah bot nelayan asing Vietnam yang dikesan menceroboh perairan negara di barat laut Pulau Straggler, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, operasi bersepadu itu berjaya menahan 11 kru termasuk tekong berusia antara 17 hingga 48 tahun yang gagal mengemukakan dokumen sah.

 

Sebahagian daripada 11 kru bot nelayan Vietnam yang ditahan selepas menceroboh perairan negara di Kudat, Sabah

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot tersebut melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua mereka bersama bot, peralatan menangkap ikan serta hasil laut dengan nilai rampasan dianggarkan RM6 juta ditahan,” katanya.

Menurut Hasbullah, kedua-dua bot berkenaan mengambil masa hampir 12 jam untuk diiring ke Jeti Tahanan Vesel Zon Maritim Kudat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Beliau menegaskan Maritim Malaysia akan terus memperketat penguatkuasaan dan tidak berkompromi dengan pencerobohan nelayan asing yang boleh menjejaskan sumber perikanan negara serta pendapatan nelayan tempatan.

Orang ramai khususnya komuniti maritim disaran menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada Pusat Operasi Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button