BISNES & EKONOMI

Tingkat kesedaran pengurusan e-sisa, ALL IT perluas kempen kelestarian TTED 2026

KUALA LUMPUR – ALL IT Hypermarket Sdn Bhd meneruskan komitmennya terhadap kelestarian alam sekitar menerusi edisi kedua kempen Tech The Emission Down (TTED) 2026.

Pada edisi pertama tahun lepas, inisiatif yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan melupuskan e-sisa secara bertanggungjawab itu menerima sambutan menggalakkan dengan berjaya menarik lebih 120,000 peserta.

Ketua Pemasaran ALL IT Hypermarket, Cagen Tan berkata, syarikat melihat peranannya bukan sekadar menyediakan teknologi kepada pengguna, tetapi turut memastikan produk jualan mereka tidak menjadi beban kepada alam sekitar selepas tamat tempoh penggunaannya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia umumnya prihatin terhadap alam sekitar namun memerlukan satu platform yang memudahkan mereka melupuskan barangan elektronik lama mereka dan pada masa sama memberikan manfaat.

“Barangan elektronik yang tidak dilupuskan dengan kaedah betul berisiko melepaskan bahan toksik ke tapak pelupusan.

“Justeru, TTED diwujudkan bagi menyediakan saluran yang lebih mudah kepada masyarakat untuk melupuskan peranti elektronik lama secara bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, kerjasama dengan Atome dan Blueshark menerusi TTED 2026 merupakan sebahagian daripada komitmen jangka panjang ALL IT untuk menggalakkan gaya hidup lebih lestari.

Bagi TTED 2026, Atome bertindak sebagai Preferred BNPL Partner, menawarkan pelan ansuran faedah sifar peratus bagi membantu pengguna mendapatkan produk teknologi hijau dengan kaedah pembayaran yang lebih fleksibel manakala Blueshark Malaysia menjadi Rakan Rasmi EV Bike.

Menerusi kempen berkenaan, ALL IT Hypermarket menyediakan pusat pengumpulan e-sisa di semua cawangannya di seluruh negara sehingga 31 Disember 2026 dan orang ramai yang menghantar barangan elektronik bagi dilupuskan layak menyertai cabutan bertuah tanpa perlu membuat pembelian.

Selain penyertaan percuma melalui penghantaran e-sisa, sebarang pembelian dengan nilai minimum RM200 dalam satu resit turut melayakkan peserta menerima satu cop penyertaan, manakala pembayaran menggunakan Atome memberikan satu tambahan penyertaan.

Peserta perlu mendaftar secara percuma sebagai ALL IT Rewards Lite Member menerusi aplikasi web ALL IT Rewards bagi mengumpul dan menjejaki cop secara digital.

Antara hadiah cabutan yang disediakan termasuk tiga unit Apple MacBook Neo (512GB) dengan seorang pemenang masing-masing bagi bulan Ogos, Oktober dan Disember 2026, tertakluk kepada terma dan syarat.

Selain itu, turut menanti pemenang, dua unit Blueshark Solo 1C EV Bike sebagai hadiah utama cabutan yang akan diumumkan pada 8 Januari 2027.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button