BERITA SEMASA

Malaysia, Pakistan perkukuh kerjasama keselamatan

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Pakistan bersetuju memperkukuh kerjasama keselamatan dan penguatkuasaan menerusi penubuhan kumpulan kerja bersama bagi menyelaras tindakan susulan dalam pelbagai bidang berkepentingan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan dua hala bersama Menteri Dalam Negeri dan Kawalan Narkotik Pakistan, Syed Mohsin Raza Naqvi di Islamabad, semalam.

Menurutnya, kerjasama itu penting susulan cabaran keselamatan dan geopolitik yang semakin kompleks serta ancaman baharu yang merentasi sempadan.

“Sebagai Menteri yang memikul tanggungjawab dalam hal ehwal dalam negeri dan keselamatan, kami berkongsi pandangan bahawa hubungan erat Malaysia-Pakistan perlu disokong oleh kerjasama yang sama kukuh antara institusi keselamatan dan penguatkuasaan kedua-dua negara.

“Pertemuan ini membuka ruang untuk mengenal pasti bidang kerjasama yang praktikal, berimpak dan mampu diterjemahkan kepada tindakan susulan yang jelas,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, perbincangan turut meliputi kerjasama kepolisan, perkongsian risikan, pencegahan keganasan, pembanterasan dadah dan jenayah rentas sempadan serta keselamatan siber.

Katanya, aspek imigresen, pemerdagangan orang, pengurusan banduan dan penguatkuasaan maritim turut menjadi antara perkara yang dibincangkan.

“Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak turut bersetuju secara prinsip untuk menubuhkan sebuah Working Group antara kedua-dua kementerian bagi menyelaras tindakan susulan dan memastikan setiap bidang kerjasama yang dipersetujui dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Saifuddin turut menyampaikan salam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta merakamkan penghargaan terhadap peranan Pakistan dalam memudah cara dialog antarabangsa yang menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.

Beliau turut berkongsi pengalaman Malaysia dalam membantu memudah cara rundingan bagi menyelesaikan pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja.

“Pengalaman kedua-dua negara membuktikan bahawa dialog, diplomasi dan kerjasama kekal sebagai asas penting dalam menghadapi cabaran keselamatan dan geopolitik yang semakin kompleks,” katanya.

Saifuddin berkata, hubungan Malaysia-Pakistan yang sekian lama berasaskan persahabatan, saling menghormati dan kepercayaan perlu terus diperkukuh.

“Saya yakin hubungan yang lebih erat antara institusi keselamatan dan penguatkuasaan Malaysia serta Pakistan akan terus menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kesejahteraan serantau,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button