BERITA SEMASA

Dari mobile spa ke premis sendiri, usahawan MARA kongsi lonjakan pendapatan

KUALA LUMPUR – Bermula dengan perkhidmatan spa bergerak dari rumah ke rumah, seorang usahawan bimbingan Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini berjaya memiliki premis sendiri hasil penyertaan dalam program di bawah Bahagian Pembangunan Usahawan (BPU).

Emilia Md Tarmidi, 46, berkata, penglibatannya dalam program BPU melalui inisiatif Aora Spa & Wellness tahun lalu membuka ruang lebih luas untuk mengembangkan perniagaan yang diusahakan.

Menurutnya, beliau terpilih menyertai projek MARA yang memfokuskan kepada pemilik spa selepas melalui beberapa peringkat saringan ketat melibatkan ratusan peserta.

“Saya bermula sebagai mobile spa dan dipilih selepas melalui beberapa sesi temu duga. Akhirnya pada hujung 2025, saya berjaya memiliki spa sendiri yang beroperasi di Behrang, Perak di bawah program ini,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di reruai Sektor Keusahawanan MARA sempena sambutan Hari MARA ke-60 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini semalam.

Beliau berkata, program berkenaan bukan sahaja membantu dari segi penjenamaan, malah menyediakan panduan lengkap termasuk aspek operasi standard (SOP), konsep perniagaan serta strategi pemasaran.

“Aora Spa ini membantu menaikkan jenama usahawan spa yang sebelum ini kurang dikenali. Dari segi pemasaran, ia lebih meluas dan memberi peluang besar untuk berkembang.

Poster aktiviti di reruai Aora Spa & Wellness sempena Sambutan Hari MARA ke-60.

“Semua outlet juga mempunyai konsep yang seragam dan kita ikut garis panduan yang telah ditetapkan,” katanya.

Mengulas perkembangan perniagaannya, Emilia berkata, perubahan paling ketara adalah dari segi peningkatan keyakinan pelanggan serta pendapatan selepas memiliki premis tetap berbanding hanya menawarkan perkhidmatan bergerak sebelum ini.

Pavilion Sektor Keusahawanan MARA menawarkan lebih 100 reruai daripada usahawan pelbagai bidang industri. – Foto Hafiz Aiman Mohd Shariff/Malaysia Tribune

“Dulu bila buat mobile spa, ada pelanggan yang kurang selesa menerima rawatan di rumah. Tetapi bila kita ada premis sendiri, mereka lebih yakin dan teruja untuk datang.

“Alhamdulillah, dalam tempoh kira-kira tiga tahun saya berjaya capai impian untuk memiliki spa sendiri dan kini mempunyai tiga hingga empat orang pekerja,” katanya.

Beliau turut menasihatkan individu yang berminat menceburi bidang keusahawanan agar tidak ragu-ragu memanfaatkan peluang yang disediakan MARA.

“MARA menyediakan pelbagai latihan, bantuan dan pembiayaan. Gunakan peluang ini untuk belajar dan mulakan perniagaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button