AGAMARENCANA

Kemuliaan seorang ibu, tiang pendidikan dan moral umat

SUDAH menjadi fitrah manusia untuk menjulang tinggi kedudukan seorang ibu. Dalam Islam, kemuliaan ibu ditempatkan pada darjat yang sangat tinggi hingga disebut sebanyak tiga kali lebih utama berbanding ayah dalam sabda Rasulullah SAW.

Ibu adalah insan yang mengandung dengan susah payah, melahirkan dalam kesakitan, menyusukan dengan penuh kasih sayang dan membesarkan anak-anak tanpa mengira lelah.

Pengorbanan seorang ibu yang mengandung dan melahirkan anak tidak akan mampu dibalas walau dengan segunung emas.

Pengorbanannya tidak terhitung dan doanya tidak pernah putus. Justeru, menghormati dan berbakti kepada ibu bukan sekadar amalan mulia, tetapi juga satu kewajipan yang dituntut dalam al-Quran dan sunnah.

Ibu madrasah pertama anak

Ketua Kursus Pendidikan Islam dan Moral, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan, Ustazah Rohamiah Muda berkata, ibu merupakan madrasah pertama dalam kehidupan seorang anak.

“Seawal saat bayi dilahirkan, suara dan sentuhan ibu adalah pelajaran pertama yang membentuk emosi, akhlak dan nilai insan.

“Dalam Islam, pendidikan tidak hanya bermula di bangku sekolah, tetapi di pangkuan seorang ibu yang membimbing anak dengan kasih sayang dan hikmah,” ujar Ustazah Rohamiah ketika dihubungi Malaysia Tribune.

Menurut beliau, Imam Syafie pernah menyebut, ‘Barang siapa yang ingin melihat hasil pendidikan seseorang, lihatlah pada ibunya.’

Ustazah Rohamiah

“Kata-kata ini jelas menunjukkan bahawa ibu bukan sahaja mendidik anak untuk membaca dan menulis, tetapi membentuk hati yang tunduk kepada Allah, lidah yang jujur dan akhlak yang terpuji.

“Di sebalik suasana rumah yang penuh nilai Islam, ibu mengajar anak tentang solat, doa, sabar, menghormati orang tua dan menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

“Pakar psikologi Islam juga menegaskan bahawa kehadiran emosi ibu yang stabil menjadi faktor utama dalam kejayaan anak-anak dalam pembelajaran.

“Malah, anak-anak yang berasa disayangi dan dihargai oleh ibunya akan lebih bersemangat dan yakin untuk belajar dan berkembang,” jelas beliau lagi.

Ibu penguat moral masyarakat

Mengulas lanjut, Ustazah Rohamiah berkongsi, dalam kerapuhan dunia hari ini yang dilanda pelbagai cabaran sosial, peranan ibu sebagai benteng moral sangatlah besar.

“Seorang ibu yang menanamkan nilai jujur, adil, berdisiplin dan bertanggungjawab dalam diri anak-anak, sedang menyemai benih generasi berprinsip yang bakal memimpin masa depan.

Tanggungjawab ibu dalam mendidik anak-anak mampu membentuk kejayaan buat mereka apabila dewasa.

“Sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Qayyim al-Jawziyyah, ‘Sesungguhnya keutuhan sesebuah bangsa bergantung kepada akhlak dan akhlak itu bermula dari pendidikan seorang ibu.’

“Lebih daripada itu, golongan wanita bergelar ibu juga sering menjadi teladan dalam masyarakat termasuklah menyumbang tenaga dalam sekolah, komuniti, masjid atau gerakan sosial. Sumbangannya membentuk kesejahteraan yang melangkaui rumah tangga,” tegasnya.

Doa anak buat ibu bapa

Ustazah Rohamiah turut mengingatkan, anak-anak mempunyai tanggungjawab sangat besar yang perlu dilaksanakan terhadap kedua ibu bapa mereka.

“Mendoakan ibu bapa adalah salah satu bentuk taat dan kasih yang dianjurkan. Al-Quran dan hadis Nabi SAW banyak menyebut tentang pentingnya doa anak kepada kedua-dua ibu bapa terutamanya apabila mereka sudah tua atau telah kembali ke rahmatullah.

“Dalam erti kata lain, tanggungjawab anak tidak terhenti apabila ibu atau bapa meninggal dunia, sebaliknya ia lebih diperlukan buat roh mereka di alam barzakh,” kata beliau.

Tanggungjawab anak tidak terhenti apabila ibu atau bapa meninggal dunia, sebaliknya ia lebih diperlukan buat roh mereka di alam barzakh

Antara doa yang diajarkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 24 yang bermaksud: “Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka berdua (ibu bapa) sebagaimana mereka berdua telah mendidik kami semasa kecil.”

Sabda Nabi Muhammad SAW pula: “Apabila seorang insan itu meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Berikut antara doa-doa lain yang boleh diamalkan oleh anak untuk ibu bapa:
1.اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِى وَلِوَ الِدَىَّ وَارْ حَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَا نِى صَغِيْرًا
“Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibu bapaku dan rahmatilah mereka sebagaimana mereka telah mengasihiku sewaktu kecil.”

2. اللَّهُمَّ اجْعَلْ أُمِّي مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ
“Ya Allah, jadikanlah ibuku dalam kalangan penghuni syurga.”

3. اللَّهُمَّ أَطِلْ عُمْرَهَا فِي طَاعَتِكَ، وَارْزُقْنِي بِرَّهَا حَتَّى تَرْضَى عَنِّي
“Ya Allah, panjangkanlah usianya dalam ketaatan kepada-Mu dan berilah aku rezeki untuk berbakti kepadanya sehingga dia reda kepadaku.”

Kemuliaan seorang ibu tidak dapat diukur dengan kata-kata atau penghargaan dunia semata-mata kerana ia adalah amanah dan darjat kurniaan Allah.

Justeru, tegas Ustazah Rohamiah, hakikatnya, kemuliaan seorang ibu tidak dapat diukur dengan kata-kata atau penghargaan dunia semata-mata. Ia adalah amanah dan darjat yang dikurniakan Allah SWT.

“Maka sebagai anak, menjadi tanggungjawab kita untuk terus menghormati, mentaati dan mendoakan ibu, sama ada semasa hayatnya atau selepas pemergiannya.

“Semoga dengan mentaati ibu dan bapa, Allah SWT membuka pintu keberkatan dan keredaan dalam hidup kita di dunia dan akhirat.

“Ingatlah bahawa kemuliaan seorang ibu adalah cerminan cinta dan rahmat Allah SWT kepada seluruh hamba-Nya,” kata Ustazah Rohamiah menutup bicara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button