Wanita pamer nota bapa meninggal redah trafik sesak
KUALA LUMPUR – Tindakan seorang wanita menggantung sekeping nota bertulis “Maaf, ayah saya baru meninggal” pada pintu kenderaannya ketika berdepan kesesakan lalu lintas mengundang perhatian serta simpati orang ramai.
Menerusi perkongsian di Facebook oleh Nor Azah Nazarudin, wanita berkenaan dilihat menjulurkan tangannya keluar dari tingkap kenderaan sambil memegang nota tersebut, dipercayai bagi memohon laluan untuk segera pulang dan menatap jenazah bapanya buat kali terakhir.
Menurut Nor Azah, kejadian itu berlaku di Kelantan ketika keadaan trafik dilaporkan sesak. Namun, pengguna jalan raya yang berada di lokasi memberikan kerjasama dengan memberi laluan kepada keluarga terbabit.
“Semoga Allah mempermudahkan urusan akak sekeluarga untuk sampai ke destinasi yang dituju. Jalan sangat sesak. Salam takziah,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Perkongsian berkenaan turut meraih pelbagai reaksi daripada warga maya yang meluahkan rasa sebak selain berkongsi pengalaman kehilangan insan tersayang.
Seorang pengguna Facebook, Farizul Haikal, yang dipercayai ahli keluarga wanita itu, tampil mengucapkan penghargaan kepada semua pengguna jalan raya yang membantu mereka.
“Alhamdulillah. Semoga ayah saya tenang di sana dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Terima kasih kepada semua yang memberi laluan dan mendoakan kami,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna media sosial, Aida Rani, mendakwa mengenali keluarga berkenaan dan memaklumkan bahawa bapa wanita tersebut meninggal dunia secara mengejut.
“Ini cucu saudara saya. Ayahnya meninggal dunia secara mengejut,” katanya.
Rata-rata netizen turut menzahirkan ucapan takziah serta memuji sikap prihatin dan bertimbang rasa pengguna jalan raya yang sanggup membantu memudahkan urusan keluarga berkenaan.
“Saya faham situasi akak ini kerana pernah melalui pengalaman sama. Ketika sampai, arwah abah sudah selesai dikafankan dan saya tidak sempat melihatnya,” tulis seorang pengguna, Fatin.
Seorang lagi pengguna, Nadiah, berkata pengalaman tidak sempat berada di sisi ibunya ketika menghembuskan nafas terakhir meninggalkan rasa terkilan yang sukar dilupakan.
“Pernah berada dalam situasi ini. Saya tidak sempat berada di sisi arwah mak ketika saat akhir. Rasa ralat itu masih ada hingga hari ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








