BERITA SEMASA

Ibu, anak perempuan ditemui meninggal dunia dalam rumah berkunci

GEORGE TOWN – Seorang wanita bersama anak perempuannya ditemukan meninggal dunia dalam keadaan reput di sebuah unit pangsapuri di Jalan Bukit Gambir, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 4.41 petang yang memaklumkan terhidu bau busuk dari salah satu unit pangsapuri di kawasan berkenaan.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bersama anggota Balai Polis Sungai Nibong bergegas ke lokasi kejadian dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Sebaik pintu kediaman dibuka dengan bantuan bomba, polis menemui dua mayat reput di bilik utama iaitu seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.

“Mangsa dipercayai berusia 40 tahun dan anak perempuanya berusia dua tahun,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dipercayai mempunyai hubungan ibu dan anak berdasarkan penemuan dokumen pengenalan diri di dalam rumah.

Unit Forensik Hospital Pulau Pinang dan Pasukan Siasatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang turut dikerahkan bagi menjalankan siasatan lanjut di lokasi kejadian.

Kedua-dua mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

“Buat masa ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan penuh hasil bedah siasat,” jelasnya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button