Tulislah catatan hutang demi kemaslahatan muamalah
KADANG-KADANG hutang antara dua sahabat bermula dengan senyuman.
“Tak apa, nanti bila ada, bayarlah,” kata si pemberi.
Si peminjam pula mengangguk penuh janji. Namun, waktu berganti, janji terlupa atau sengaja dilupa. Dari hubungan yang dulu mesra, kini tinggal dingin dan berjauh hati.

Ini mungkin situasi yang dialami ramai individu di luar sana. Disebabkan hutang, putus silaturahim yang pernah terjalin.
Ketua Kursus Pendidikan Islam dan Moral di Jabatan Pengajian Am, Politeknik Ibrahim Sultan, Ustazah Rohamiah Muda berkata, fenomena itu bukan asing lagi dalam masyarakat.

“Ramai dalam kalangan umat Islam hari ini mengambil ringan tentang tanggungjawab menulis hutang terutama jika ia melibatkan rakan karib atau saudara sendiri.
“Percaya atau tidak, hutang dalam kalangan orang yang dikenali antara punca utama pemutus silaturahim paling cepat,” ujar beliau kepada Malaysia Tribune.
Menurutnya, sikap sambil lewa terhadap hutang boleh membuka ruang kepada sengketa dan bahkan dosa.
“Lebih membimbangkan, apabila kematian menjemput salah seorang pihak, urusan hutang yang tidak ditulis boleh menjadi sebab kepada azab di alam kubur,” tegasnya.
Menulis Hutang, Tuntutan Syariat
Ustazah Rohamiah memberitahu, Islam menekankan soal menulis hutang dengan penuh hikmah.
Bahkan katanya, ayat paling panjang dalam Al-Quran iaitu Surah Al-Baqarah ayat 282 membicarakan secara terperinci tentang hutang dan kewajipan menulisnya.

Firman Allah SWT:
“Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermu’amalah tidak secara tunai (berhutang) untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya…”
Menurut Ustazah Rohamiah, ayat itu bukan sekadar panduan, tetapi perintah jelas agar setiap urusan hutang ditulis dan disaksikan secara adil.
Tujuannya supaya hak kedua-dua pihak iaitu pemiutang dan penghutang terpelihara.
Rasulullah SAW turut memperingatkan dalam sabdanya:
“Orang yang menunda-nunda pembayaran hutang padahal mampu, maka itu adalah kezaliman.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Justeru, kata Ustazah Rohamiah, umat Islam perlu melihat amalan menulis hutang bukan sebagai tanda tidak percaya, tetapi sebagai lambang tanggungjawab dan kejujuran.
“Menulis hutang bukan bermakna kita tidak percaya antara satu sama lain.
“Ia sebenarnya tanda kita menghargai kepercayaan itu supaya hak semua pihak terpelihara dan hubungan tidak tercalar,” jelasnya lagi.
Ingatkan yang Lupa, Lindungi yang Leka
Tambah beliau, antara hikmah menulis hutang ialah sebagai pengingat kepada yang lupa.
Sayidina Umar Al-Khattab RA pernah berpesan:
“Tulislah hutang, kerana sesungguhnya ia akan mengingatkan orang yang lupa.”

Ujarnya, catatan hutang juga berfungsi sebagai bukti jika berlaku pertikaian atau keperluan perundangan selain membantu pengurusan kewangan agar tidak berlaku kekeliruan dalam urusan memberi dan membayar hutang.
“Dalam urusan muamalat, menulis hutang menunjukkan sikap profesionalisme.
“Malah, ia juga mencerminkan kesungguhan seseorang untuk membayar kembali amanah yang dipinjam,” tambah Ustazah Rohamiah.
Elak Sengketa, Jaga Silaturahim
Mengulas lanjut beliau berkata, ramai umat Islam yang terperangkap dalam konflik kerana tiada bukti jelas mengenai pinjaman.
“Ada yang mula menuduh, ada pula yang memilih untuk berdiam diri, lalu hubungan pun renggang. Semua ini boleh dielakkan jika hutang ditulis sejak awal.
“Menulis hutang bukan sekadar urusan duniawi, tetapi satu cara menjaga ukhuwah dan keadilan. Ia kecil di mata manusia, tapi besar di sisi Allah,” kata beliau lagi.
Catatan Kecil, Nilai Besar
Kesimpulannya, menulis hutang bukan sekadar catatan di atas kertas tetapi ia adalah tindakan bersandarkan iman dan amanah.
Islam menuntut umatnya menulis setiap urusan hutang kerana ia menjaga keadilan, kejelasan dan ketenangan hati.

Jika kita malu untuk menulis, maka bersedialah menanggung risiko salah faham, sengketa dan mungkin dosa yang tidak selesai.
Sebagaimana diingatkan oleh Ustazah Rohamiah:
“Tulislah hutang, bukan kerana tidak percaya, tetapi kerana kita ingin menjaga kepercayaan. Ia menjadi ingatan, bukan hanya kepada yang meminjam tetapi juga kepada kita tentang tanggungjawab di hadapan Tuhan.”
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



