BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Lelaki tempatan dicekup cuba seludup ungka ke India

SEPANG – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas cuba menyeludup keluar empat ekor ungka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 20 Jun lalu.

Kegiatan itu terbongkar hasil pemeriksaan dijalankan oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) di Zon Pemeriksaan H2R Hammerhead, Terminal 1 KLIA.

Menurut kenyataan AKPS, haiwan daripada spesies terancam tersebut disembunyi dalam satu bagasi milik suspek berusia 34 tahun yang akan terbang ke Mumbai, India.

“Suspek kemudiannya ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

“Pemeriksaan rapi berjaya mengesan kehadiran empat ekor haiwan eksotik disyaki ungka tangan hitam.

“Suspek kini berada dalam tahanan dan siasatan dijalankan mengikut peruntukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686),” kata kenyataan itu.

Menurut AKPS, haiwan yang dianggarkan bernilai RM30,000 itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kejayaan itu merupakan hasil pemeriksaan bersepadu yang diperketatkan sejak 1 Jun lalu di semua pintu masuk negara terutama di sektor penerbangan berisiko tinggi.

“AKPS, AVSEC dan PERHILITAN akan terus memperkukuh kawalan di KLIA dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyeludupan hidupan liar,” kata kenyataan itu lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button