BERITA SEMASA

Serangan Balai Ulu Tiram : Tujuh ditahan bantu siasatan

JOHOR BAHRU – Tujuh individu yang disyaki terlibat dalam serangan mengorbankan dua anggota polis di Balai Polis Ulu Tiram di sini telah ditahan setakat pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, dua suspek yang ditahan adalah seorang lelaki berusia 22 tahun dan wanita 21 tahun yang turut berada di lokasi semasa kejadian berlaku, kira-kira 2.45 pagi.

Kedua-dua suspek berada di balai polis berkenaan dengan alasan mahu membuat laporan polis mengenai kes cabul.

“Susulan itu, polis telah menyerbu rumah suspek pada pukul 6 pagi yang terletak di sekitar Ulu Tiram dan menahan lima ahli keluarga berusia antara 19 dan 62 tahun.

“Polis turut menggeledah rumah suspek dan polis menjumpai pelbagai risalah berkaitan dengan kumpulan Jemaah Islamiah (JI) ,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat lokasi kejadian di Balai Polis Ulu Tiram, di sini hari ini.

Dua anggota polis terkorban dalam serangan itu manakala suspek pertama maut ditembak polis.

Razarudin berkata, siasatan awal mempercayai serangan dilakukan suspek yang merupakan ahli kumpulan JI dan percaya serangan telah dirancang oleh suspek.

Katanya, pemeriksaan pada badan suspek juga menemukan sebuah beg berisi kepingan zink, buku dan baju yang berfungsi sebagai perisai.

“Polis percaya suspek utama dipercayai ahli Jemaah Islamiah memandangkan bapa suspek yang berusia 62 tahun merupakan ahli kumpulan terbabit,” ujarnya.

Sementara itu, proses bedah siasat dua anggota polis dan seorang suspek itu dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Laluan dan pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, HSI dikawal ketat anggota polis.Turut kelihatan beberapa waris mangsa,” seperti laporan BH online hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button