BERITA SEMASAPMX

Suntikan modal kepada SEB diguna untuk selesaikan hutang kepada vendor

Perlu dibayar balik

PUTRAJAYA – Suntikan modal baharu berjumlah RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) bukan bertujuan memanfaatkan pemegang saham atau pengurusannya tetapi bagi membayar hutang syarikat itu kepada vendor.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu adalah bagi syarikat berkenaan melunaskan hutangnya kepada 2,000 vendor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) minyak serta gas tempatan yang majoritinya syarikat bumiputera.

Pada masa yang sama, langkah itu juga penting untuk menyelamatkan ekosistem industri minyak dan gas tempatan.

“Amat penting untuk ditegaskan bahawa suntikan modal ini juga tidak sama sekali memanfaatkan pemegang saham atau pengurusan SEB,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anwar turut menekankan, langkah ini juga merupakan sebahagian daripada usaha penstrukturan semula SEB.,

“Dalam penstrukturan semula SEB, pemegang saham utama sebelum ini tidak lagi terlibat dalam pengurusan SEB. Pengurusan baharu profesional telah dilantik untuk melaksanakan penstrukturan semula SEB,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Anwar kemudiannya mengakui tidak senang dengan keputusan kerajaan untuk menyelamatkan syarikat besar, namun suntikan RM1.1 bilion itu merupakan suatu pinjaman yang perlu dibayar balik.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa proses audit telah dilaksanakan dan ‘due diligence’ tambahan akan dijalankan sebagai prasyarat sebelum penstrukturan serta suntikan modal dimuktamadkan.

“Selanjutnya, dapatan due diligence ini akan dikongsikan kepada agensi penguatkuasaan berkenaan seperti Suruhanjaya Sekuriti sama ada tindakan diambil ke atas mana-mana pihak.

“Kerajaan Madani tetap mengutamakan ketelusan dan amalan tatakelola baik dalam pengurusan. Penstrukturan semula SEB telahpun melalui kelulusan pemiutang serta proses mahkamah,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button