BERITA SEMASA

Henti kaitkan agama, kaum dalam semua isu – R. Ramanan

SHAH ALAM – Semua pihak diminta bertenang dan berhenti mengaitkan agama dan kaum dalam setiap isu atau perkara yang berlaku di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, tindakan sedemikian perlu dipraktikkan terutamanya dalam membahaskan isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berhampiran Jalan Masjid India yang menjadi tumpuan ketika ini.

“Saya pernah sebutkan sebelum ini, kita mesti hentikan politik kaum ini, menghasut, menggunakan agama kerana ia tidak sihat untuk masyarakat. Ini bukan contoh yang kita mahu tunjukkan untuk generasi akan datang.

“Bagi saya, sudah tentu ini isu yang sensitif, tetapi yang paling penting semua orang harus berhenti menggunakan kaum dan agama dalam semua perkara,” katanya selepas menghadiri program Jualan MADANI Raya di Subang Bestari, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sedang mencari penyelesaian yang terbaik berhubung isu kuil berkenaan.

“Ketika ini kita juga berdepan situasi sukar kerana tanah itu merupakan tanah persendirian seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri.

“Jadi, ketika ini kita sedang membuat rundingan bagi mendapatkan penyelesaian yang terbaik berhubung isu ini,” katanya.

Terdahulu, Anwar menasihatkan semua pihak supaya tidak cuba menjadi ‘jaguh’ dalam isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button