BERITA SEMASA

Permohonan geran I-BAP dibuka semula dengan syarat kelayakan dipermudah – R. Ramanan

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME Corp membuka semula permohonan geran padanan Business Accelerator Programme for Indian Small Business (I-BAP) bermula 7 April dengan syarat kelayakan dipermudah.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pelonggaran syarat itu dibuat bagi mengalakkan lebih banyak usahawan Perusahaan Mikro, Kecil Dan Sederhana (PMKS) berbangsa India mendapat manfaat daripada geran bernilai sehingga RM100,000 berkenaan.

“Permohonan bantuan kewangan berbentuk geran padanan I-BAP kembali dibuka kelmarin.

“Bagi memastikan lebih banyak PMKS mendapat manfaat, syarat kelayakan yang ditetapkan sebelum ini iaitu perniagaan dengan jualan tahunan melebihi RM300,000 setahun sahaja yang layak memohon I-BAP, dimansuhkan,” kata Ramanan dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain tiada lagi ketetapan had minimum jumlah jualan tahunan, permohonan geran berkenaan turut dipermudahkan dengan keutamaan diberi kepada projek yang telah selesai dilaksanakan dan telah membuat pembayaran kepada pembekal bermula 1 Jun 2024.

“Bantuan bersasar khusus untuk usahawan India melalui I-BAP membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam meningkatkan pembangunan komuniti India sejajar dengan gagasan Malaysia MADANI yang menyasarkan pertumbuhan ekonomi yang lebih saksama dan inklusif.

Melalui prinsip kesaksamaan dan keterangkuman ditekankan di bawah Malaysia MADANI, Kerajaan yakin pendekatan ini berupaya mengurangkan jurang ekonomi antara kaum,” katanya lagi.

Bagi usahawan India yang ingin memohon bantuan tersebut, mereka perlu mempunyai Sijil Akuan Status PMKS yang sah tempoh dan pemohon yang memohon projek berkaitan adaptasi ESG perlu menjalani Penilaian ESG PMKS.

Selain itu, keutamaan permohonan akan diberikan kepada projek yang telah selesai dilaksanakan dan telah membuat pembayaran kepada pembekal bermula 1 Jun 2024.

Permohonan baharu bagi program I-BAP akan dibuka selama dua minggu atau sehingga penerimaan permohonan mencapai jumlah komitmen maksimum yang diperuntukkan.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan dan syarat permohonan I-BAP, usahawan boleh melayari laman sesawang SME Corp dan saluran media sosial rasmi SME Corp. Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button