BERITA SEMASA

Semua 428 aktivis GSF 2.0 termasuk 29 rakyat Malaysia dibebaskan

SEPANG – Kesemua 428 aktivis kemanusiaan misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 termasuk 29 rakyat Malaysia yang ditahan Israel di perairan antarabangsa dilaporkan telah dibebaskan dan dijangka pulang ke tanah air pada Ahad ini.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan telah menghantar tiga pesawat Turkish Airlines ke Lapangan Terbang Ramon di Israel bagi membawa keluar kesemua aktivis terbabit.

Menurutnya, SNCC mengesahkan semua 428 aktivis kini sedang dipindahkan menaiki bas ke lapangan terbang sebelum diterbangkan ke Istanbul menerusi tiga penerbangan khas Turkish Airlines dengan kod TK6919, TK6921 dan TK6925.

“Ketiga-tiga penerbangan khas Turkish Airlines tersebut dijangka berlepas dari tanah haram Israel sekitar jam 8 malam waktu Malaysia.

“Penerbangan ini dijangka tiba pada jam 10 malam waktu Malaysia dan akan disambut pihak Kedutaan Malaysia di Turkiye, Wisma Putra serta kerajaan Turkiye,” katanya pada sidang media perkembangan Misi GSF 2.0 di sini hari ini.

Beliau berkata, delegasi Malaysia dijangka menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital di Turkiye susulan laporan terdapat tahanan yang dipukul dan mengalami kecederaan ketika ditahan.

Katanya, SNCC menjangkakan delegasi Malaysia akan berlepas pulang ke tanah air pada Sabtu sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad.

Dalam pada itu, Sani Araby turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari atas usaha membantu membebaskan rakyat Malaysia yang terlibat.

“Ia termasuk usaha menggembleng saluran diplomatik antarabangsa secara strategik dan berkesan bagi melaksanakan rundingan serta memastikan proses membawa keluar kesemua 29 rakyat Malaysia dapat diatur dengan selamat,” katanya lagi.

Beliau berkata, insiden penahanan aktivis kemanusiaan itu turut mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa apabila pelbagai negara dan organisasi dunia tampil mengecam tindakan tersebut.

Antara negara yang menyuarakan bantahan ialah Turkiye, Itali, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia dan Portugal selain organisasi antarabangsa seperti Organisation of Islamic Cooperation, United Nations dan European Union.

Menurutnya, tekanan antarabangsa yang semakin memuncak termasuk ancaman sekatan ekonomi, tindakan perundangan dan tekanan diplomatik dipercayai menjadi antara faktor semua tahanan akhirnya dibebaskan tanpa syarat.

Semalam, SNCC mengesahkan kesemua 50 kapal GSF 2.0 yang membawa 428 aktivis kemanusiaan termasuk 29 rakyat Malaysia dari 40 negara telah dipintas tentera laut Israel di perairan antarabangsa kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button