PDRM buru 7 rakyat Malaysia jadi ‘scammer’ di Kemboja
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini meletakkan tujuh warga Malaysia dalam senarai dikehendaki berhubung sindiket penipuan siber bernilai RM130 juta yang berpangkalan di Kemboja.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, usaha mengesan kesemua suspek sedang giat dijalankan dan pihaknya bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa dalam dan luar negara.
“Kesemua tujuh suspek warga Malaysia disenaraikan dalam senarai orang yang dikehendaki bagi tujuan tangkapan dan siasatan lanjut.
“PDRM kekal komited memperhebat usaha pengesanan dengan menjalin kerjasama erat bersama agensi penguat kuasa dalam dan luar negara,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau menambah, PDRM komited memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi membanteras jenayah rentas sempadan yang mengancam ketenteraman negara.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan bahawa Pasukan Polis Singapura (SPF) mendedahkan 27 warga Singapura dan tujuh rakyat Malaysia dipercayai terbabit dalam kegiatan jenayah siber berpangkalan di Kemboja.
Operasi penguatkuasaan bersama Polis Kebangsaan Kemboja (CNP) dilancarkan pada 9 September terhadap Kumpulan Jenayah Terancang (OCG) yang menyamar sebagai pegawai kerajaan dan menyasarkan mangsa di Singapura.
Dalam operasi awal itu, 15 suspek iaitu 12 rakyat Singapura, dua rakyat Malaysia dan seorang warga Filipina ditahan di Singapura telah didakwa pada 11 dan 12 September atas pertuduhan menjadi ahli OCG yang berpangkalan di Kemboja.
Hasil siasatan lanjut mengenal pasti tambahan 27 rakyat Singapura dan tujuh rakyat Malaysia dipercayai turut terlibat serta beroperasi dari kompleks penipuan yang sama di Phnom Penh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








