BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Bukit Aman ambil alih siasatan kes kematian pegawai kadet PALAPES

KUALA LUMPUR – Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman semalam mengambil alih sepenuhnya siasatan berhubung kematian pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Syamsul Haris Shamsuddin.

Tindakan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam membenarkan permohonan keluarga untuk menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan proses bedah siasat kedua dijalankan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited mematuhi semua perintah mahkamah bagi memastikan siasatan berjalan teratur.

“PDRM mengambil maklum berhubung permohonan Ummu Haiman Bee Daulatgun yang difailkan melalui peguam Naran Singh & Co di Mahkamah Tinggi Jenayah Shah Alam, bagi mendapatkan perintah menggali semula jasad Syamsul Haris.

“PDRM memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus, berintegriti dan berlandaskan undang-undang mengikut prinsip Rule of Law demi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam prosiding itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Bhupindar Singh mengeluarkan tiga perintah yang perlu dipatuhi pihak responden termasuk arahan supaya jasad Syamsul Haris yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Rinching Ulu, Semenyih digali semula bagi tujuan bedah siasat kedua.

Bedah siasat itu akan dilakukan oleh pakar forensik Hospital Kuala Lumpur dengan kehadiran pakar forensik Datuk Seri Dr. Bhupinder Singh dan peguam keluarga, Datuk Naran Singh atau wakil daripada Tetuan Naran Singh & Co.

Selain itu, pakar forensik yang menjalankan bedah siasat diwajibkan mengeluarkan laporan dalam tempoh munasabah dan menyerahkan salinannya kepada peguam keluarga.

Syamsul Haris meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi selepas menjalani latihan di Lapang Sasar Tembakan Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, Johor.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan hasil siasatan Jawatankuasa Khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapati tiada unsur penderaan dalam insiden tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button