BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Polis siasat akaun palsu guna nama Menteri Dalam Negeri tawar bantuan kewangan

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berhubung kewujudan beberapa akaun media sosial palsu yang menggunakan nama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, dipercayai bagi menipu orang ramai dengan tawaran bantuan kewangan.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus berkata, siasatan awal mendapati akaun terbabit dipercayai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memperdaya pengguna media sosial.

“Susulan laporan yang diterima, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau menegaskan tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam pelanggaran perundangan berkaitan.

Dalam masa yang sama, Fadil turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang bentuk tawaran bantuan kewangan yang disebarkan melalui media sosial terutama daripada sumber yang tidak disahkan.

“Semak kesahihan maklumat terlebih dahulu sebelum bertindak bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan siber,” ujarnya.

Sementara itu, Pejabat Menteri Dalam Negeri dalam kenyataan berasingan turut memaklumkan akaun TikTok palsu terbabit kononnya menawarkan bantuan kewangan atas nama Saifuddin, lengkap dengan pautan WhatsApp yang diletakkan di ruangan biografi.

Pejabat itu menjelaskan, akaun rasmi TikTok Saifuddin Nasution adalah menggunakan nama penuh beliau iaitu @saifuddin_nasution.

Dalam kenyataan sama, pihak kementerian tidak menolak kemungkinan lebih banyak akaun palsu akan diwujudkan pada masa akan datang untuk memperdaya orang ramai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button