BERITA SEMASA

Bekas wartawan FMT ditahan: Kerajaan hormati kebebasan media, siasat ikut undang-undang – Saifuddin

KULIM – Kerajaan komited untuk terus menghormati kebebasan media dan kebebasan bersuara, namun kebebasan itu perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab serta selaras dengan undang-undang sedia ada.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tindakan pihak berkuasa dalam isu melibatkan seorang wartawan baru-baru ini adalah berdasarkan aduan yang diterima dan bukan bertujuan menekan kebebasan media atau masyarakat.

“Prinsipnya, kita sentiasa menghormati kebebasan bersuara, tetapi kebebasan itu mesti datang dengan tanggungjawab.

“Apabila ada aduan, polis perlu mempertimbangkan tindakan lanjut mengikut prosedur siasatan yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas Lawatan Projek Mesra Rakyat di Kulim, di sini, hari ini.

Menurut beliau, agensi media sendiri telah menyatakan bahawa tindakan wartawan terbabit tidak mencerminkan pendirian organisasi berkenaan, selain perbandingan yang dibuat antara situasi di Palestin dan layanan terhadap komuniti Cina di Malaysia disifatkan tidak tepat dari segi magnitud dan kayu ukur.

“Wartawan berkenaan akan bekerjasama dengan polis, memberi keterangan dan siasatan akan berjalan seperti biasa.

“Selepas kertas siasatan lengkap, ia akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk keputusan selanjutnya,” katanya lagi.

Saifuddin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak sebagai agensi penguat kuasa bagi memastikan undang-undang dipatuhi, bukan untuk menyekat kebebasan media atau kebebasan masyarakat.

Dalam sidang media sama, beliau turut memaklumkan sebanyak 35 projek pembangunan bernilai keseluruhan RM2.3 juta dilaksanakan di daerah Kulim dan Bandar Baharu bagi tahun ini menerusi Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) Kedah, meningkat berbanding RM1.8 juta tahun lalu.

Menurutnya, projek tersebut melibatkan kontraktor kategori G1 dengan purata kos sekitar RM25,000 bagi setiap unit, khususnya bagi kerja-kerja baik pulih rumah daif yang memberi impak langsung kepada keselesaan rakyat.

Beliau berkata, pemantauan rapi akan dilaksanakan sepanjang tahun ini, terutama terhadap projek berimpak tinggi seperti loji rawatan air, bagi memastikan pelaksanaan berjalan mengikut jadual dan mencapai mutu kerja yang ditetapkan.

Mengulas operasi penguatkuasaan melibatkan pekerja asing di sebuah kilang elektronik pada 14 Januari lalu, Saifuddin berkata, siasatan awal mendapati terdapat pekerja asing yang membeli dokumen pengenalan diri palsu dengan harga sekitar RM300.

“Pemalsuan dokumen adalah isu serius, lebih-lebih lagi ketika kerajaan melaksanakan subsidi bersasar.

“Fokus siasatan bukan hanya kepada pekerja, tetapi keseluruhan ekosistem termasuk ejen, majikan, proses pengambilan pekerja dan sumber dokumen palsu,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, negara masih memerlukan pekerja asing, namun kemasukan mereka mesti mematuhi undang-undang dan peraturan, selain memberi jaminan kebajikan pekerja asing akan terus dilindungi.

“Isu pengurusan pekerja asing akan dibincangkan secara menyeluruh dalam mesyuarat khas bersama Kementerian Sumber Manusia yang dijadualkan berlangsung hujung Januari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button