JENAYAH & MAHKAMAH

Permohonan reman ditolak, Chegu Bard dibebas petang ini

KUALA LUMPUR – Aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard dijangka dibebaskan petang ini selepas Mahkamah Majistret menolak permohonan polis untuk menahan reman dia lebih lama susulan insiden memukul patung menyerupai Perdana Menteri dalam satu perhimpunan pembangkang pada Sabtu lalu.

Peguamnya, Mohd Rafique Rashid Ali berkata, mahkamah hanya membenarkan reman selama sehari ke atas Chegu Bard manakala permohonan reman terhadap seorang lagi individu, Ikhwan, ditolak sepenuhnya.

“Kami hadir ke prosiding sekitar jam 11 pagi tadi. Polis memohon reman selama empat hari atas empat kesalahan termasuk di bawah Akta Hasutan, Akta Kesalahan Kecil dan Kanun Keseksaan.

“Tetapi kami bantah sepenuhnya kerana sepanjang tempoh tahanan sejak malam tangkapan, tiada sebarang siasatan dilakukan.

“Tiada rakaman percakapan, tiada soal siasat. Anak guam kami hanya diletakkan dalam lokap,” katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini hari ini.

Menurut Rafique, antara alasan polis dalam permohonan reman termasuk untuk mengesan suspek lain, mencari bahan bukti dan menjalankan pengecaman.

Namun katanya, hujahan pihak pembelaan diterima mahkamah selepas prosiding berjalan lebih sejam.

“Alhamdulillah, Ikhwan akan dibebaskan tanpa reman manakala Chegu Bard dijangka dibebaskan petang ini selepas tamat tempoh tahanan satu hari,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pihak berkuasa agar tidak menyalahgunakan kuasa dengan menahan individu tanpa asas kukuh.

“Jika tiada siasatan dilakukan, kenapa tahan? Ini tidak adil. Kerajaan perlu ambil perhatian serius terhadap perkara ini.

“Rakyat ada hak bersuara, berhimpun secara aman dan menyatakan pandangan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button