LUAR NEGARA

AS terus tekan Iran, rundingan masih berjalan

KUALA LUMPUR – Amerika Syarikat (AS) akan meneruskan tekanan ketenteraan terhadap Iran sehingga negara itu menghentikan program nuklear dan peluru berpandu, kata Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.

Dia berkata rundingan antara Washington dan Tehran masih berlangsung, meskipun kebanyakannya dilakukan secara tidak langsung melalui perantara.

Menurutnya, Presiden AS, Donald Trump, tetap mengutamakan penyelesaian diplomatik, namun dalam masa sama meningkatkan tekanan ketenteraan dan ekonomi terhadap Iran.

“Presiden sentiasa memilih diplomasi, tetapi kita juga sedang meningkatkan tekanan,” memetik Al Jazeera online.

Rubio berkata, Iran perlu menghentikan sepenuhnya pembangunan senjata nuklear serta program peluru berpandu dan dron yang disifatkan sebagai ancaman kepada negara-negara Teluk.

“Iran masih boleh meneruskan program tenaga nuklear awam, namun tidak dibenarkan memiliki keupayaan yang boleh mempercepatkan pembangunan senjata nuklear,” katanya lagi.

Sementara itu, Pensyarah Universiti Tehran, Hassan Ahmadian, mempertikaikan dakwaan tersebut dengan menyatakan strategi ketenteraan Iran lebih bersifat pertahanan dalam konflik tidak seimbang.

Rubio memberi amaran bahawa Selat Hormuz akan kekal dibuka “walau dengan apa cara sekalipun”, sambil menolak sebarang tuntutan kedaulatan Iran ke atas laluan strategik berkenaan.

Menurutnya, penutupan laluan itu boleh memberi kesan besar kepada perdagangan global dan tidak akan diterima masyarakat antarabangsa.

Rubio turut mendakwa objektif ketenteraan AS hampir tercapai, termasuk memusnahkan keupayaan tentera udara dan sebahagian besar aset laut Iran.

Katanya, pengurangan pelancar peluru berpandu serta pemusnahan kilang dron dan peluru berpandu sedang giat dilakukan.

“Kita akan capai matlamat ini dalam beberapa minggu, bukan bulan,” ujarnya.

Mengulas kepimpinan baharu Iran, Rubio berkata kedudukan Mojtaba Khamenei masih tidak jelas dan sukar dipastikan.

Namun dia menegaskan perubahan kepimpinan bukan objektif rasmi operasi ketenteraan AS, walaupun Washington tidak menolak kemungkinan menyokong perubahan politik jika peluang wujud.

Dalam perkembangan sama, Rubio mengkritik beberapa negara anggota NATO yang didakwa enggan memberikan akses pangkalan dan ruang udara kepada AS sepanjang konflik.

“Perkara itu menimbulkan persoalan terhadap kepentingan kerjasama dalam pakatan tersebut dan mungkin perlu dinilai semula selepas perang,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button