SDK TUDM Subang terima studio digital, sokong dasar pendidikan digital negara
SUBANG – Sekolah Kebangsaan TUDM Subang (SK TUDM Subang) dipilih sebagai sekolah kedua menerima kemudahan studio digital di bawah Program Digitalisasi Sekolah Dalam Kem (SDK) oleh Kementerian Pertahanan.
Majlis peluncuran program dan perasmian studio digital yang dinamakan Affin Digital Space SK TUDM Subang itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Adly Zahari pagi tadi.

Adly berkata, studio berteknologi layar hijau (green screen) itu membolehkan pelajar serta pendidik melaksanakan program berasaskan media digital dan menghasilkan kandungan kreatif.
“Sumbangan ini mencerminkan kerjasama strategik yang penting antara sektor awam dan swasta dalam menjayakan aspirasi pendidikan digital negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adly turut menzahirkan penghargaan kepada pihak Affin Bank Berhad di atas sumbangan kepada sekolah tersebut.
Sumbangan disampaikan dalam bentuk replika cek oleh Ketua Pengarah Eksekutif Perbankan Komuniti Kumpulan Affin Bank, Mohammad Fairuz Mohd Radi kepada Guru Besar SK TUDM Subang, Zatul Bazamah Abu Bakar.
Adly berkata, Inisiatif itu selaras dengan Dasar Pendidikan Digital yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 2023, bertujuan melahirkan murid fasih digital, selain memperkasakan pendidik untuk mengintegrasikan teknologi dalam ekosistem pendidikan.
“SK TUDM Subang menjadi sekolah kedua menerima manfaat program itu selepas SK KEMENTAH yang menerima studio digital pada 13 Mac lalu.
“SK Sir Sultan Ibrahim di Johor dijangka menjadi penerima seterusnya,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, usaha itu juga merupakan sebahagian daripada komitmen MINDEF terhadap Fokus 4: Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan yang diumumkan dalam Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2025.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Komander Pangkalan Udara Subang, Brigedier Jeneral Yusri Jamari TUDM serta beberapa pegawai kanan MINDEF dan Affin Bank
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








