116 pelatih PLKN 3.0 siri pertama berjaya tamatkan latihan 45 hari
KUALA LUMPUR – Seramai 116 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 siri 1/2025 berjaya menamatkan latihan selama 45 hari di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah Kuala Lumpur, hari ini.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, pelatih terbabit terdiri daripada 73 pelatih lelaki dan 43 pelatih wanita yang berusia 18 hingga 25 tahun.
Beliau berkata, daripada 120 yang mendaftar, empat daripadanya tidak berjaya menamatkan program atas faktor kesihatan, melanjutkan pengajian dan mewakili negara dalam acara silat.
Walau bagaimanapun, Adly berkata, PLKN 3.0 disifatkan berjaya mencapai objektif pelaksanaanya menerusi modul yang merangkumi 30 peratus aspek kenegaraan dan 70 peratus aspek ketenteraan.

“Kita juga memberikan ruang kepada wira muda ini beberapa kemahiran termasuk kemahiran insaniah dan juga dalam bidang perusahaan dan teknologi berdasarkan modul-modul yang telah kita laksanakan.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Tamat Latihan PLKN 3.0 bagi siri 1/2025 di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah (515 AW) Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas lanjut, Adly berkata, PLKN 3.0 akan diteruskan dengan siri kedua yang dijadualkan berlangsung dari 11 Mei hingga 24 Jun, manakala siri ketiga pula akan diadakan pada 7 September hingga 21 Oktober tahun ini.
Beliau berkata, siri kedua dan ketiga itu masing-masing akan melibatkan 500 pelatih dan akan diadakan di Kem Rejimen 505 di Pekan, Pahang.

“Sepanjang latihan, kita dapat lihat pemantapan jati diri melalui PLKN ini dan kita cukup yakin hasil daripada permulaan ini ia akan memberikan sesuatu yang terbaik untuk generasi muda untuk membina jati diri mereka.
“Siri yang pertama ini adalah melalui sukarela, jadi kita akan mulakan modul yang kedua dan ketiga melalui proses pengambilan kita akan pastikan bahawa proses itu akan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Adly menambah, pihaknya memberi jaminan akan melakukan penambahbaikan terhadap segala kekurangan berdasarkan PLKN 3.0 siri 1/2025 seperti menyediakan kelengkapan uniform yang secukupnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








